mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Menyuluh hakikat, bukan mencari aib

SETIAP sesuatu yang berlaku ada hikmahnya. Apa yang disebut oleh sebahagian rakan taulan sebagai serangan empat hari akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia terhadap zikir, tarekat dan “pendakwah-pendakwah asing yang membawa ajaran songsang” jelas ada hikmahnya. Mungkin tanpa “serangan” ini minat masyarakat untuk mengetahui hakikat sebenar perkara-perkara ini tidak begitu menonjol.

Apa itu tarekat? Ia berasal daripada perkataan Arab iaitu Thoriqah yang secara literal bermakna “jalan” dan dari segi istilah ilmu tasawuf bererti “jalan atau cara beribadah untuk menghampirkan diri kepada Allah”. Sebagaimana ulama-ulama fekah atau dikenali sebagai fuqaha menyusun kaedah-kaedah fekah dan tatacara yang betul (sah) untuk beribadah dan bermuamalah yang diambil daripada pelbagai sumber hukum syarak dengan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber-sumber utama dan sumber lain seperti ijmak, qiyas, istishaab, istihsaan, masaalih mursalah, urf, sadd zaraai dan lain-lain sebagai sumber sekunder.

Lalu kumpulan kaedah-kaedah dan natijah-natijah ijtihad para fuqaha ini masing-masing disebut sebagai mazhab. Begitu juga ulama-ulama tasawuf telah menyusun kaedah atau cara-cara yang sistematik untuk melakukan zikir, salawat dan amalan lain yang jelas dituntut melalui banyak nas al-Quran dan Hadis Nabi bagi tujuan membersihkan hati daripada dosa-dosa yang batin dan sifat-sifat hati yang terkeji lalu membawa diri hampir kepada makrifah (kenal) dan mahabbah (kasih) Allah SWT lalu dinamakan tarekat.

Cara-cara atau peraturan-peraturan berzikir ini dinamakan tarekat kerana ia merupakan salah satu jalan yang menyampaikan seseorang mukmin kepada kemuncak tujuan dan cita-cita iaitu untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Dalam tarekat yang sebenar, sering diperingatkan bahawa tujuan beramal dengan tarekat adalah semata-mata menuntut keredaan Allah SWT sahaja. Sekiranya ada tujuan selain daripada itu, maka pengamalnya akan tergelincir daripada landasan kebenaran. Di dalam syarah Al-Hikam Syeikh Muhammad bin Ibrahim menyatakan bahawa “mana-mana jiwa atau hati yang melihat di dalam ibadatnya hajat kepada selain daripada Allah, maka ia akan dikuasai oleh iblis.”

Jelas, jiwa dan hati yang dikuasai iblis akan sentiasa cenderung kepada kesesatan walaupun memakai pakaian dan imej tasawuf dan tarekat, serban yang besar dan jubah yang berlapis-lapis. Umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, masyarakat dan ulamanya senada sekiranya penyelewangan dan kesesatan bertopengkan tasawuf dan tarekat ini yang ingin ditentang dan dikekang.

Agenda

Malangnya, kelihatan seperti ada agenda kumpulan tertentu yang ingin pergi lebih jauh dari itu, mengambil peluang menangguk di air keruh, ingin menidakkan fungsi tasawuf sebagai cabang penting daripada tiga cabang agama Islam iaitu cabang Tauhid (Iman), Fiqh (Islam) dan Tasawuf (Ihsan). Seterusnya, mereka ghairah memberikan imej buruk kepada aktiviti-aktiviti zikir yang menjadi tuntutan agama dan sumber kekuatan dalaman sehinggakan aktiviti tarian menggoyangkan punggung oleh wanita-wanita di depan khalayak dengan iringan alunan muzik yang jelas bertentangan dengan syariat dituduh sebagai aktiviti zikir sambil menggoyangkan punggung!

Seterusnya, tanpa bukti-bukti yang jelas mereka memberikan gambaran bahawa pendakwah-pendakwah asing tertentu termasuk golongan habaib (habib-habib keturunan Rasulullah SAW) membawa ajaran songsang yang kata mereka bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Benarkah seperti yang didakwa?

Zikir daripada perkataan Arab yang boleh membawa maksud mengingati atau menyebut. Zikir dalam konteks ibadah merangkumi mengingati dan menyebut Allah dan menyebut Allah boleh dilakukan dengan hati (zikir sir) atau dilakukan dengan lisan (zikir jahar) mengikut keberkesanan, kesesuaian dan keadaan orang berzikir serta persekitarannya. Yang dikatakan maqam-maqam dalam zikir tarekat hakikatnya bertujuan mensebatikan zikir dalam segenap jiwa raga seseorang manusia secara berperingkat-peringkat bersesuaian dengan tuntutan membersihkan hati daripada sifat-sifat yang terkeji (mazmumah) dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) sebagaimana yang difahami daripada bimbingan Rasulullah yang bermaksud: “Ketahuilah di dalam jasad ada seketul daging, apabila baik ia, maka baiklah sekalian jasad, dan apabila rosak ia, maka rosaklah sekalian jasad dan ketahuilah ia adalah hati.”

Apabila hati seseorang mukmin itu bersih murni, maka eloklah keseluruhan dirinya dan apabila elok individu-individu mukmin di dalam negara, maka elok dan terselamatlah negara ini daripada gejala-gejala negatif seperti pecah amanah, rasuah, jenayah, khianat dan lain-lain. Banyak berzikir adalah amalan yang thabit dengan perintah al-Quran dan Hadis. Antara lain firman Allah di dalam Surah Al-Jumu’ah 62:10 yang bermaksud:

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Malah ibadah zikir ini adalah ibadah yang dianjurkan supaya dilakukan dalam setiap keadaan. Dalam menafsirkan ayat al-Quran Surah Aali Imran 3:110 yang bermaksud: (Orang-orang yang berakal iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." Ahli tafsir mengatakan yang dimaksudkan adalah berzikir dituntut dalam segenap keadaan.

Hadis Nabi di dalam Musnad Imam Ahmad misalnya memberikan gambaran tentang kepentingan banyak berzikir dengan sabda nabi yang bermaksud “bahawa lidah kamu sentiasa basah dengan zikrullah”.

Oleh kerana tidak biasa dan jahil hukum, akhirnya sebahagian ahli masyarakat kita menjadi kecoh dan bingit apabila melihat rakaman majlis zikir yang dilakukan di dalam keadaan berdiri sambil badan bergoyang-goyang sedangkan berzikir dalam keadaan berdiri thabit dengan nas al-Quran yang disebutkan di atas dan goyangan badan menghayati alunan zikir berlaku semenjak dari zaman para sahabat Nabi lagi.- Engku Ahmad Fadzil Engku Ali Utusan Malaysia Rencana Agama 7 Jun 2015

Tags: aib
Subscribe

Posts from This Journal “aib” Tag

  • Gosip, dedah aib orang cetus permusuhan

    RASULULLAH SAW menjelaskan tanda orang munafik ada tiga iaitu, jika ia berbicara ia berdusta, jika berjanji ia mengingkari dan jika diberi amanah ia…

  • Melihat aib diri bantu bentuk peribadi mulia

    Kita ini milik Allah SWT dan kepada Allah SWT kita akan kembali. Firman Allah SWT mafhumnya: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada…

  • Awasi lidah dan telinga

    ANTARA tuntutan ajaran Islam kepada kita ialah memberi ucapan dan menzahirkan perkataan-perkataan yang baik. Ia adalah nikmat dan hak yang…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments