mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Cer kome tanye, UKE jawab

Tujuan Pembedahan Plastik
Umur saya ialah 53 tahun. Apakah dibenarkan dalam Islam jika saya menjalani pembedahan moden di muka supaya pipi kelihatan lebih tegang. Saya menjalankan perniagaan produk kecantikan dan perlu bagi saya menjaga penampilan diri. - Mat, Bukit Mertajam.

UKE: Hukum prosedur pembedahan plastik bergantung kepada niat dan tujuan ia dilakukan.

Diwajibkan: Prosedur untuk menutup luka, memperbaiki bekas luka parah atau menampal kesan kulit terbakar pada wajah dan bahagian anggota yang boleh dilihat.

Diharuskan: Bertujuan menyempurna atau mengembalikan fungsi tubuh sebagaimana yang sepatutnya dan membaik pulih kecacatan anggota tubuh.

Diharamkan: Mengubah ciptaan Allah SWT seperti menukar alat kelamin, wajah dan sebagainya. Nas mengharamkan pembedahan plastik selain tujuan kesihatan adalah berdasarkan firman Allah SWT: “Apa yang mereka sembah selain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hamba-Mu bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku).

Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka dan sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”.

“Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang nyata.” (Surah al-Nisa, 117-119).


Cukur bulu kaki

Bolehkah kalau perempuan cukur bulu kaki untuk tujuan kecantikan?- Gadis Ayu, Kedah.

UKE: Tidak ada larangan dari segi syarak terhadap perbuatan mencukur bulu kaki. Yang ada larangan hanyalah mencukur atau menipiskan bulu kening kerana ia dilaknat oleh Allah SWT sebagaimana ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis baginda: “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang mencukur alis (bulu kening) atau minta dicukur alisnya dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar RA).

Apabila tidak ada larangan, maka ia kekal atas hukum asalnya iaitu harus.


Tahlil arwah

Kalau kita nak buat kenduri tahlil arwah, apakah kita kena sebut nama-nama arwah kepada tok imam?- Sal, Selangor

UKE: Kenduri tahlil hukumnya harus semata-mata. Jangan dianggap wajib dan boleh dilakukan dan mendapat pahala kerana di dalamnya ada zikir, bacaan al-Quran dan sebagainya. Adapun hendak sebut nama arwah atau tidak kepada tok imam adalah terpulang. Tok imam itu pandailah hendak buat. Yang penting Allah SWT mengetahui niat kita.

Jemu bercinta

Saya berusia 34 tahun dan masih bujang tetapi mempunyai seorang teman lelaki yang sebaya. Kami sudah lama berkawan tetapi sepanjang perkenalan kami, dia masih belum memberi apa-apa perancangan ke arah perkahwinan. Saya malu untuk bertanya tentang hal itu kerana saya seorang wanita walaupun di dalam hati hanya Allah saja yang tahu perasaan ingin berumah tangga bersama dia.

Saya mohon jasa ustaz untuk memberi doa yang tepat supaya terbuka pintu hati dia untuk memperisterikan saya. Saya sudah jemu bercinta, memandangkan usia semakin meningkat. Bantu saya ustaz. - Haslinda Hashim, Ampang.

UKE: Saya cadangkan anda banyak membaca Surah ar-Rad ayat satu hingga tiga. Baca setiap kali selepas solat. Baca juga surah Yasin ayat ke-82. Sila buka YouTube kerana ada ceramah saya tentang ayat tersebut.

Soalan Suami yang menyakitkan hati

Ini merupakan perkahwinan ketiga saya. Suami saya suka bertanya tentang hubungan saya dengan bekas suami dulu termasuk berapa kali sehari saya berasmara dengan bekas suami. Saya rasa sangat sakit hati. Kalau bukan suami yang bertanya, mahu sahaja saya tumbuk mulut dia. Soalan-soalan itu boleh dikatakan ditanya tiap-tiap hari dan tiga hingga empat kali sehari diajukan pada saya. Kadang-kadang dia menghina saya kononnya saya janda sedangkan dia pun duda anak empat. Usia dia 70-an dan saya 50-an. Apa harus saya buat? - Lina, Damansara

UKE: Puan Lina, jangan layan sangat soalan begitu kerana bukan semua soalan suami perlu dijawab. Kalau anda sakit hati dengan soalan dia, adalah lebih baik jika anda berterus terang dan cakap dengan tegas bahawa anda tidak suka soalan sebegitu. Banyakkan solat malam. Insya-Allah suami akan menghormati anda.

- Utusan Malaysia Rencana Agama 7 Jun 2015
Tags: hukum
Subscribe

Posts from This Journal “hukum” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments