?

Log in

No account? Create an account
Petikan Khutbah Jumaat:14 September 2018/4 Muharram 1440H JAKIM

Menyantuni umat membawa rahmat

Kini kita telah melangkah masuk ke tahun baru 1440 hijrah dan meninggalkan tahun lalu dengan pelbagai kenangan dan pengalaman. Sesungguhnya hijrah Rasulullah dari Kota Mekah ke Kota Madinah adalah satu rancangan strategik dalam menyusun strategi bagi mempertahankan agama Allah , menjamin keselamatan dan kemenangan Islam, serta memelihara nilai-nilai murni Islam untuk jangka panjang.
jakim.jpg
Hijrah Rasulullah menandakan titik transformasi dalam kemajuan umat Islam dan melahirkan satu sistem hidup bermasyarakat yang sempurna. Ia menyaksikan transformasi kekuatan umat Islam daripada satu umat yang lemah kepada satu umat yang mantap, bertenaga dan berkemampuan tinggi.

Satu tamadun dan peradaban yang tinggi telah dapat dilahirkan dalam satu tempoh yang singkat sehingga Islam menjadi agama kedua terbesar pada hari ini dengan populasi dianggarkan seramai 1.8 bilion orang atau 24% daripada jumlah penduduk dunia.

Realiti hari ini umat Islam menjadi masyarakat yang ditindas disebabkan kelemahan dari segi pendidikan, ekonomi dan politik. Sebahagian kita leka dengan keseronokan dan hiburan semata-mata tanpa mempedulikan nasib ummah.

Penciptaan manusia sebagai khalifah di bumi ini adalah atas dasar matlamat dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebelum kita dikembalikan ke alam akhirat yang kekal, penciptaan ini bukan sia-sia sahaja sebagaimana Allah mengingatkan melalui surah al-Mukminun ayat 115:“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami (di alam akhirat)”

Kunci utamanya ialah dengan melaksanakan kehidupan menurut alQuran dan al-Sunnah sepertimana yang telah dipimpin oleh Rasulullah . Ingatlah pesanan Baginda kepada kita melalui hadis riwayat Imam Malik berikut: “Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu : Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya ”

Konsep hijrah juga menuntut agar kita sentiasa berusaha mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang harmoni dan sejahtera seperti yang dilakukan oleh Rasulullah di Madinah sekalipun dalam kepelbagaian agama, bangsa dan keturunan.

Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh manusia tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan dan bangsa. Kesempurnaan dan kelestarian Islam amat terserlah melalui layanan terhadap semua makhluk Allah di muka bumi ini menerusi prinsip Maqasid Syariah yang meraikan kesemua sudut kehidupan dan keadaan. Kehebatan Islam lebih dirasai oleh setiap yang mempercayai, menyakini dan beriman dengan Allah .

Sikap keterbukaan untuk menerima kepelbagaian haruslah diusahakan agar umat Islam dapat membentuk satu umat yang benar-benar bersaudara dengan penuh kasih sayang

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin menekankan beberapa intipati penting yang perlu diberi perhatian serius iaitu:

Pertama: Peristiwa hijrah merupakan titik tolak kepada tranformasi umat yang perlu sentiasa diambil iktibar dan dilaksanakan ke arah melakar kecemerlangan dunia dan akhirat.

Kedua: Menyantuni kepelbagaian masyarakat hari ini dengan memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing menerusi jiwa muafakat dan toleransi.

Ketiga: Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh manusia yang meraikan kesemua sudut kehidupan dan keadaan


“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Petikan Khutbah Jumaat 14 September 2018M / 04 Muharram 1440H:JAIS
“Menyantuni Umat Membawa Rahmat”.
Hijrah merujuk kepada perpindahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah demi menegakkan Islam. Seorang Mukmin yang berjaya dan cemerlang akan sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan diri untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan berjaya.

jais.jpgFirman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 20 yang disebutkan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
                                                                                                                                                                                               
Hijrah merupakan sunnah para anbia’, tiada nabi yang tidak melakukan proses hijrah demi memertabatkan Agama Islam. Islam adalah agama yang bersifat rahmah serta amat menitik beratkan hubungan sesama individu, keluarga, masyarakat mahupun negara. Ini kerana, Islam menyeru kepada keselamatan dan kesejahteraan dengan akhlak, sikap dan ucapan yang baik. Islam menolak segala bentuk permusuhan, kebencian dan hasutan.
Allah SWT menjadikan manusia di atas muka bumi ini terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13:“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Hijrah mempamerkan erti ukhuwah yang sebenar apabila golongan Muhajirin yang berasal dari Mekah dipersaudarakan dengan golongan Ansar di Madinah sedangkan mereka tidak ada hubungan pertalian darah dan keluarga hinggakan ada yang sanggup berkongsi dengan memberikan sebahagian harta mereka kepada saudara Muhajirin bahkan ada dalam kalangan Ansar menawarkan salah seorang daripada isteri-isterinya kepada golongan Muhajirin.
Firman Allah SWT didalam Surah al-Hujurat ayat 10 :“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Untuk menjamin ukhwah yang berkekalan, hendaklah meninggalkan sebarang bentuk perselisihan dan perbalahan didalam urusan kehidupan seharian. Ini kerana, Islam menyeru kepada perpaduan dan keharmonian hidup sesama manusia
Rasulullah SAW sangat melarang bibit-bibit permusuhan dalam kalangan umatnya seperti pertengkaran, perbalahan dan pertikaian sesama muslim.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Jauhilah oleh kalian perasangka, kerana perasangka itu adalah ungkapan yang paling dusta. Dan janganlah kalian mencari-cari aib orang lain, jangan pula saling menebar kebencian dan jadilah kalian orang-orang yang bersaudara.” (Riwayat al-Bukhari).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, dapat disimpulkan sebagai pengajaran dan panduan yang penting, antaranya adalah :
1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa hijrah kepada yang lebih baik adalah suatu kewajipan.
2. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa Islam adalah agama yang menekankan prinsip persaudaraan sesama umat dan membawa rahmat kepada manusia sejagat.
3. Umat Islam hendaklah terus berdakwah kepada semua pihak sama ada kepada Muslim atau non Muslim dengan memberi kefahaman kepada mereka tentang kebaikan ajaran Islam yang sebenar.
4. Umat Islam hendaklah sentiasa memperbaharui azam berhijrah untuk meningkatkan amal ibadah dan berakhlak dengan akhlak yang mulia.

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?" mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orangorang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (al-Nisa’ 97).
Khutbah Jumaat 07 Sept 2018M / 26 Zulhijjah 1439H: JAIS/JAKIM

“SPB YDPA: Asas Kestabilan Dan Kemakmuran Negara”

Sesebuah negara memerlukan kepimpinan untuk kesempurnaan pentadbiran agar menjadi lebih teratur dan berjaya dalam setiap bidang.

jais.jpgjakim.jpgMenurut Islam, kedudukan seseorang pemimpin adalah mulia dan tinggi kerana dia diamanahkan bagi menggantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan umat Islam. Imam al-Mawaradi (الماوردي (dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyah (السلطانية األحكام (menjelaskan: “Tugas pemimpin negara adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan dunia.”

Dalam konteks negara Malaysia pada hari ini, kita sedia maklum bahawa Bahagian Empat, Bab Satu Perlembagaan Persekutuan, menyatakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang dilantik melalui persetujuan Majlis Raja-Raja.

Lafaz sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mencakupi ikrar taat setia pada menjalankan pemerintahan dengan adil sebagaimana undang-undang dan perlembagaan serta memelihara agama Islam

Justeru, perlu diperingatkan kepada diri kita sebagai rakyat jelata betapa pentingnya kesetiaan terhadap Raja dan negara.

Malah ini menepati salah satu prinsip dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jama’ah iaitu mentaati dan menghormati pemimpin selagi mana tidak menyuruh melakukan maksiat.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 59,“Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Kebelakangan ini, institusi Raja yang sepatutnya dihormati berhadapan cabaran apabila ada usaha untuk mengganggu institusi tersebut terutama di media sosial.

Sehubungan dengan itu, marilah kita bersatu menjauhkan diri kita daripada terperangkap dan terpengaruh dalam isu seumpama ini.

Sebagai seorang muslim, hendaklah kita berpegang teguh kepada prinsip syariat Islam yang memerintahkan supaya kita menjaga lisan dan menahan diri agar tidak menulis dan menyatakan perkara-perkara yang tidak ada bukti kebenarannya.

Peringatan ini jelas dirakamkan oleh Allah melalui firmanNya dalam Surah al-Isra’ ayat 36 :“Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Dan hal ini juga diperingatkan oleh Baginda Nabi melalui hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud Radhiallahu Anhu:“Dan hendaklah berlaku benar, kerana kebenaran mambawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa seseorang ke syurga. Dan janganlah sekali-kali kamu melakukan perkara dusta, maka bahawasanya melakukan perkara dusta membawa kepada perbuatan maksiat dan perbuatan maksiat membawa kepada neraka”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Kita berdoa kepada Allah agar terus mengurniakan istiqamah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan sifat-sifat hikmah, tegas, bijaksana, adil, saksama dan berkeupayaan tinggi dalam mengharungi cabaran dengan berkesan. Seterusnya kita mendoakan barisan pembesar dan penasihat negara termasuk para ulama dan cendekiawan Islam agar dapat membantu dan meneguhkan lagi kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Semoga Allah mengekalkan kejayaan negara seperti penubuhan universiti Islam, Tabung Haji, pengurusan sistem kewangan dan perbankan Islam terunggul serta peneraju halal dunia yang ternyata memberi manfaat kepada ummah keseluruhannya.

Sesungguhnya kejayaan yang Allah anugerahkan ini adalah hasil kerjasama pemikiran ulama dan umara yang ingin melihat negara beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan. semoga hubungan erat di antara umara’ (pemimpin) dan ulama ini, negara akan terus dilimpahi rahmat dan kebaikan.

Sesungguhnya kedaulatan Islam dan kemajuan negara, adalah berasaskan kepada kekuatan kepimpinannya.

Marilah kita sama-sama sentiasa mendoakan kesejahteraan berpanjangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Kelima Belas, Sultan Muhammad Kelima, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, pada 9 September 2018 bersamaan hari Ahad, 28 Zulhijjah 1439 hijri.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, khatib ingin menyimpulkan dengan beberapa iktibar dan taujihat:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kesetiaan kepada raja dan kecintaan kepada Negara adalah sebahagian daripada iman.

2. Umat Islam hendaklah menjauhi gejala fitnah kerana ia boleh menghancurkan Negara, bangsa dan agama.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sentiasa istiqamah dalam menjalankan bidang kuasanya menjaga Negara dan kesucian agama Islam.

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj:41).

Tags:

Khutbah Jumaat: “Sayangi Malaysia"

Petikan Khutbah Jumaat: 31 OGOS 2018 / 19 ZULHIJJAH 1439 JAKIM

“Sayangi Malaysia"

Secara umumnya kemerdekaan adalah kebebasan daripada cengkaman penjajah dalam semua aspek sama ada secara fizikal ataupun pemikiran. Kita amat bersyukur kerana negara kita telah mencapai kemerdekaan selama 61 tahun.

jakim.jpgAllah telah mengutuskan para rasul-Nya kepada setiap umat bermula dari Nabi Adam hingga kepada Rasul terakhir Muhammad . Antara lain Rasul diutuskan bertujuan untuk membebaskan manusia daripada kehambaan kepada kemanusiaan.

Firman Allah dalam surah A-Nahl ayat 36. “Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan seorang Rasul bagi setiap umat untuk menyeru “sembahlah Allah dan jauhilah Taghut” kemudian di antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang tetap dalam kesesatan. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul)”

Suatu ungkapan yang menggambarkan kemerdekaan jiwa yang dimiliki oleh seorang muslim telah diucapkan oleh sahabat Nabi bernama Rab’i bin ‘Amir (عامر بن عىِب ر ( ketika ditanyakan tujuan kehadirannya ke bumi Parsi. Sebuah kisah yang mashyur, pertemuan bersejarah Rab’i bin ‘Amir dengan panglima tentera Parsi bernama Rustum telah membawa sebuah slogan kemerdekaan serta kebebasan yang sebenar menurut Islam.

Beliau menyatakan “Allah telah mengutuskan kami untuk membebaskan manusia daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah sematamata, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”. Beliau tidak merasa rendah di hadapan para pemuja harta, juga tidak merasa hina berhadapan dengan para penguasa, kerana memiliki jiwa merdeka berdasarkan tarbiyah Islam.

Sebagai Muslim yang mempunyai jiwa merdeka kita mestilah berlepas diri dari menjadi tawanan hawa nafsu kepada pengabdian kepada Allah .

Apabila Negara kita merdeka dan telah mengambil Islam sebagai teras dan diabadikan dalam perkara 3(1) perlembagaan yang memperuntukkan “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Ini bermakna kita wajib memahami bahawa peruntukan undang-undang ini telah menyediakan tapak asas kepada pengurusan pentadbiran islam di negara ini.

Kemerdekaan menurut Islam sebagai al-Salam (kesejahteraan, kedamaian dan keamanan), al-Hurriyyah (kebebasan daripada segala bentuk kehinaan dan tekanan), al-Musaawah (persamaan), al-Karamah (kemuliaan, harga diri dan maruah) dan al-I’zzah (kekuatan dan keperkasaan).

Hakikat ini dapat dilihat semasa perkembangan awal Islam apabila Rasulullah membawa kemakmuran kepada negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa’ al-Rasyidin yang banyak memerdekakan negara daripada cengkaman kekufuran.

Islam juga bersifat merdeka dalam erti kata lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah . Lantaran itu, Islam berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.

Pengisian kemerdekaan hendaklah dilaksanakan mengikut acuan yang sebenar ke arah perpaduan, ukhuwwah dan kasih sayang.

Dengan itu, kita perlu bekerja bersungguh-sungguh untuk membangunkan ummah menurut al-Quran dan sunnah dalam erti kata yang sebenarnya untuk kejayaan dunia dan akhirat.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 201: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab Neraka.”

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang menyeru kita semua sebagai umat Islam supaya:

Pertama: Mensyukuri nikmat kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan.

Kedua: Menjadi benteng dan perisai daripada ancaman pihak yang mencemburui kestabilan dan kemakmuran negara

Ketiga: Melaksanakan pengisian kemerdekaan mengikut acuan Islam ke arah perpaduan, ukhuwwah dan kasih sayang kepada negara

" Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah SWT (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah SWT kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah SWT menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam,) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah SWT itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah SWT selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah SWT menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”. (Surah ali ‘Imran ayat: 103)
Petikan Khutbah Jumaat 31 Ogos 2018M / 19 Zulhijjah 1439H: JAIS

“Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan”.

Kemerdekaan, adalah salah satu nikmat Allah SWT kepada kita. Ia bermaksud bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman, perhambaan dan kongkongan, samada secara langsung atau tidak.

Cetusan awal yang mendorong semangat kemerdekaan di Negara kita adalah daripada pemikiran tokoh-tokoh ulama Tanah Air kita. Islam mengajar kita bahawa manusia hanya berhak dan perlu tunduk sebagai hamba Allah sahaja.

jais.jpgKita memiliki tanah air yang aman. Tidak ada tanah air lain bagi kita, tidak ada negara lain buat kita. inilah sahaja bumi yang kita warisi daripada nenek moyang kita.

Islam menyeru umatnya supaya mensyukuri nikmat yang di kurniakan Allah SWT. Mereka yang mensyukuri nikmat akan mendapat tambahan anugerah yang lebih banyak, sebagaimana firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7:“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya! jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.”

Negara yang merdeka rakyatnya akan dapat bebas mencari rezeki dalam suasana aman, dapat menunaikan ibadah dengan khusyuk tanpa halangan, dapat menuntut ilmu dan kemahiran sepanjang zaman dan bebas bergerak tanpa sekatan.

Adalah menjadi tanggungjawab kita mengisi kemerdekaan ini dengan menjana pembangunan rohani dan jasmani. Antaranya memantapkan aqidah dan melaksanakan syariah, meningkatkan pembangunan insan dengan ilmu dan kemahiran.

Mensyukuri kurniaan Allah akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan mendapat keampunan dan hidayah Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sakhbarah bahawa Rasululah SAW bersabda:“Siapa yang diberi kurnia lalu bersyukur, dan diuji lalu bersabar, dia menzalimi orang dia mohon maaf, dan apabila dianiaya lalu memaafkan, kemudian baginda mendiamkan diri.

Maka para sahabat bertanya, mengapa dengannya wahai Rasulullah? Jawab baginda; “Mereka itu mendapat keampunan dan mereka juga mendapat hidayah.” (Riwayat al-Tabrani).

Mereka yang tidak menghargai dan mensia-siakan nikmat Allah bakal mengundang bala daripada Allah SWT sepertimana firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 45: “Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).

Ini menunjukkan bahawa kezaliman merupakan angkara yang menjadi punca kehancuran sesuatu bangsa. Pembentukan akhlak merupakan perkara utama dalam pembangunan sesebuah negara. Sesungguhnya kemuliaan sesuatu bangsa itu adalah terletak pada akhlaknya, apabila rosak akhlak mereka maka rosaklah bangsa itu.

Islam menyuruh kita bersatu untuk mempertahankan agama dan membangun Negara dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 96:“Dan (Allah berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.

Sempena memperingati ulang tahun kemerdekaan Negara kita yang ke-61 ini, kita hendaklah mengikis segala bentuk penjajahan yang menguasai pemikiran, akhlak dan nilai kebudayaan yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil pengajaran dan panduan sepertimana berikut:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa segala nikmat yang kita perolehi adalah anugerah Allah SWT, termasuk nikmat kemerdekaan Negara.

2. Umat Islam mestilah menanam semangat cintakan negara kepada diri, keluarga dan masyarakat untuk menjamin kemerdekaan supaya kekal di tangan kita.

3. Umat Islam hendaklah mengisi kemerdekaan dengan iman yang tinggi, akhlak yang terpuji dan ilmu yang bermanfaat serta amal soleh yang berterusan.

4. Umat Islam hendaklah mempertahankan kemerdekaan daripada anasir-anasir buruk yang boleh menggugat kesucian agama dan kedaulatan Negara.

“Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan. (al-Nahl : 112).

Khutbah Jumaat : Harapan Palestin

Petikan Khutbah Jumaat : 24 Ogos 2018 / 12 Zulhijjah 1439 JAKIM

Harapan Palestin

Pada masa ini, wilayah Palestin semakin sempit hanya tinggal „sekangkang kera‟ iaitu Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Umat Islam Palestin semakin terhimpit dan terhapus di bumi Palestin. Hari ini beribu-ribu orang Palestin terkorban dan tercedera dengan bedilan peluru-peluru roket dan kereta kebal Israel.jakim.jpg

Israel adalah bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadat, tempat awam dan sebagainya. Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab.

Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestin, malah Jordan, Syira, Lebanon, dan Iraq. Sifat keji Bani Israel ini dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Maidah ayat 78: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.”

Agensi Bantuan dan Kebajikan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nation Relief dan Works Agency for Palestin Refugees (UNRWA) ditubuhkan pada tahun 1949 untuk membantu pelarian Palestin dan masyarakat di Gaza dan Tebing Barat.

Tanggungjawab utamanya ialah menguruskan sistem persekolahan, khidmat kesihatan dan program bantuan makanan. Dianggarkan 5.3 juta orang bergantung pada programprogram dari UNRWA yang dibiayai oleh masyarakat antarabangsa.

Namun pada awal tahun ini, sumbangan Amerika Syarikat kepada UNRWA telah dipotong daripada USD364 juta pada tahun 2017 kepada hanya USD60 juta pada tahun ini. Ini merupakan pengurangan hampir 25 peratus belanjawan tahunan UNRWA.

Pihak UNRWA yang mengendalikan 711 buah sekolah memberi peluang pendidikan kepada 525,000 murid dan 150 buah klinik kesihatan asas yang memberi khidmat perubatan kepada 8 juta pesakit. Pemotongan sumbangan ini menjejaskan keupayaan UNRWA mengendalikan sekolah-sekolah dan klinik-klinik di bawah sistemnya dan juga program bantuan makanan di kem-kem pelarian di Syria, Jordan dan Lebanon.

UNRWA juga memberi peluang pekerjaan kepada 30,000 orang pelarian Palestin untuk melaksanakan program-programnya. Ini memberi pendapatan untuk kegiatan ekonomi di Gaza, Tebing Barat dan kem-kem pelarian.

Amat menyedihkan apabila UNWRA mendedahkan terdapat lebih 500,000 kanak-kanak Palestin termasuk pelarian yang mendapat perlindungan di negara berhampiran, tidak mendapat pendidikan sempurna ekoran konflik dan peperangan di negara berkenaan.

Di negara ini, setiap pelajar berpeluang belajar mengikut potensi dirinya mengikut peluang yang ada iaitu sekolah aliran agama, tahfiz, sekolah berasrama penuh, kolej vokasional, Maktab Rendah Sains MARA dan lain-lain.

Kita dapat saksikan sendiri kewujudan universiti awam dan kolej-kolej swasta hampir di seluruh negeri yang menawarkan pelbagai kursus pengajian.

Pada tahun lalu, terdapat lebih 170,068 pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pendidikan negara. Daripada jumlah itu, 136,293 pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, manakala 33,031 pelajar di sekolah dan pusat bahasa serta 744 pelajar di institusi teknikal dan vokasional. Jumlah penuntut asing yang menuntut di negara ini dijangka meningkat sehingga 200,000 orang menjelang tahun 2020.

Keamanan dan keharmonian yang dikecapi telah memberikan satu jaminan kepada peluang pendidikan yang sangat efektif. Sesungguhnya inisiatif kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti telah menyaksikan peningkatan kadar literasi rakyat negara ini.

Laporan UNESCO Institute for Statistic pada tahun 2017 menunjukkan bahawa kadar literasi dalam kalangan rakyat berumur 15 tahun ke atas di Malaysia secara umumnya sudah menjangkau 94.64%.

Islam sebagai agama rahmah amat mementingkan ikatan persaudaraan. Walaupun tiada pertalian darah, hubungan persaudaraan itu amat kuat apabila diikat dengan ikatan agama (Islam).

Islam melarang keras sebarang bentuk kezaliman dan membiarkan muslim yang lain dizalimi.

Sabda Rasulullah seperti diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: Daripada „Abdullah bin „Umar RA berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat (membantu) saudaranya, maka Allah akan melaksanakan (membantu) hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

Kerajaan telah memulakan satu usaha mengutip dana yang dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk menguruskan Tabung Rakyat Palestin ini. Rakyat Malaysia diseru menyumbang kepada YKN Tabung Rakyat Palestin melalui no. akaun: 160140010011300 untuk mengurangkan penderitaan rakyat Palestin. Sumbangan derma yang disalurkan ke YKN-Tabung Rakyat Palestin diberi pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(7A)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekelian untuk menghayati intipati khutbah sebagai pedoman bersama-sama, antaranya:

Pertama: Umat Islam dituntut menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita;

Kedua: Menginsafi akan bahaya perpecahan dan perlunya tindakan segera dalam menyatupadukan ummah seluruh dunia; dan

Ketiga: Memastikan bahawa penjenayah perang Gaza dibawa kemuka pengadilan dan terus memburu mereka walau di mana jua.

Mimbar juga menyeru masjid-masjid seluruh negara agar mengadakan solat sunat hajat dan bacaan qunut nazilah, memohon doa kehadrat Allah agar dikurniakan kekuatan semangat dan kecekalan hati serta kemenangan dalam menghadapi kezaliman Israel.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra‟, ayat 1)

Khutbah Jumaat : “Menangani LGBT”

Petikan Khutbah Jumaat 24 Ogos 2018M / 12 Zulhijjah 1439H: JAIS

 “Menangani LGBT”.

Satu gerakan songsang yang menyalahi hukumhakam agama Islam yang semakin berani ke hadapan dalam menuntut hak bagi ahli-ahlinya. Gerakan ini atas nama LGBT iaitu singkatan bagi Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender.

Dari segi pengertian, Lesbian ialah perempuan yang melakukan hubungan seks sesama perempuan. Gay pula ialah lelaki yang jais.jpgmembuat hubungan seks sesama lelaki. Biseksual pula ialah lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki dan perempuan. Begitu juga wanita yang melakukan seks dengan lelaki dan perempuan. Manakala Transgender pula ialah lelaki yang merasakan dia seorang wanita dan wanita merasakan dia seorang lelaki dan kadang-kadang menukar alat jantinanya melalui pembedahan.

Dalam sejarah, kehidupan LGBT ini bukanlah suatu yang baharu. Ia sudah pun wujud sejak zaman Nabi Luth AS lagi sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 80-81 yang dibacakan di awal khutbah ini yang bermaksud: “Dan Nabi Luth juga (Kami utuskan), ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

Dalam Islam, LGBT adalah perbuatan mungkar yang dilaknat dan diharamkan oleh Allah SWT samada dilakukan secara terus terang atau sembunyi. LGBT juga merupakan perbuatan dosa besar dan terkutuk yang menyalahi hak kemuliaan seseorang manusia kerana menafikan hak berhubungan melalui perkahwinan yang sah dan diiktiraf oleh syarak sebagai suami isteri.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Syuara’ ayat 165-166:“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia. Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orangorang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”.

Manakala dalam hadis pula yang menunjukkan kemungkaran LGBT ialah, Abu Hurairah Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada empat golongan manusia, mereka berpagi dalam kemurkaan Allah, dan mereka berpetang juga dalam kebencian Allah Taala. Para sahabat bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab, mereka itu ialah orang lelaki yang menyerupai perempuan, orang perempuan yang menyerupai lelaki, orang yang menyetubuhi binatang atau minta disetubuhi binatang dan lelaki yang menyetubuhi lelaki.” (Riwayat al-Tabrani dan Baihaqi)

Perbuatan yang terkutuk ini bukan sahaja dilarang dan diharamkan malah langkah-langkah awal ke arah itu juga dilarang sebagaimana Rasulullah SAW menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak boleh seseorang lelaki melihat lelaki yang lain dan tidak boleh seseorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh seorang lelaki menyentuhkan badannya kepada badan lelaki yang lain di dalam satu selimut dan tidak boleh seorang wanita menyentuhkan badannya kepada badan wanita yang lain dalam satu selimut”. (Riwayat Muslim).

Menurut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pada tahun 2013 sahaja sebanyak 3 peratus daripada rakyat Malaysia didapati terlibat dalam gejala LGBT iaitu bersamaan lebih kurang 173,000 orang.

Untuk makluman juga, berdasarkan laporan Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 3,347 kes HIV baru telah dicatatkan pada tahun 2017 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,697 kes adalah melibatkan individu yang mengamalkan tabiat seks songsang seperti homoseksual dan biseksual (LGBT).

Selain itu, penularan virus tersebut dalam kalangan mereka yang homoseksual dan biseksual semakin meningkat dari tahun ke tahun dengan 63 kes pada tahun 2000 kepada 1,553 kes pada tahun 2016 dan 1, 697 kes pada tahun lepas.

Dalam menangani isu LGBT ini, pihak JAIS khususnya Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan menjalankan tindakan berdasarkan peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Tahun 1995 sedia ada seperti peruntukan Seksyen 27 bagi kesalahan hubungan jenis bagi orang yang sama jantina, Seksyen 28 bagi kesalahan persetubuhan luar tabii dan Seksyen 30 bagi kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan.

Bagi tempoh bermula tahun 2015 hingga tahun 2018, sebanyak 30 aduan direkodkan berkaitan dengan kesalahan-kesalahan yang dinyatakan sebelum ini dan daripada jumlah tersebut sebanyak 7 tangkapan telah dilakukan oleh pihak penguatkuasa JAIS.

Ini kerana jika perbuatan terkutuk dan dosa besar ini dilakukan juga serta masih berleluasa, maka tidak mustahil Allah akan menurunkan hukuman dan azab sebagaimana yang berlaku ke atas kaum Nabi Luth Alaihis Salam.

Allah SWT berfirman dalam surah Hud ayat 82-83: “Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada dimuka buminya) dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka, dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.”

Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 162-163:“Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku dan hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita menghayati tausiah berikut:

1. Umat Islam hendaklah menyakini Allah Amat Mengasihani kepada hamba-Nya yang beriman dan Amat murka kepada hamba-Nya yang derhaka.

2. Umat Islam wajib merasa jijik dan jengkel terhadap sebarang perbuatan yang dikutuk oleh Allah dan Rasul-Nya..

3. Umat Islam wajar berusaha membantu orang-orang yang ingin berhijrah kembali ke jalan yang diredhai Allah..

“Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat”. (al-Ra’d : 22).

Tags:

Petikan Khutbah Aidil Adha 1439H:22 Ogos 2018 / 10 Zulhijjah 1439 JAKIM

Aidil Adha: Manifestasi Penyerahan Kepada Pencipta

Mengambil hikmah pengajaran daripada sirah Nabi Ibrahim , bahawa Islam itu membawa maksud penyerahan diri kepada Allah dengan hati yang ikhlas diikuti dengan jasad beramal dengan perintah-Nya walau diuji dengan pelbagai ujian sehingga terpaksa mengorbankan jakim.jpgdiri dan keluarga.

Ujian-ujian ini tidak lain hadir setelah beriman dengan kalimah tauhid (هللا إال إله ال (dan penolakan terhadap sebarang bentuk kesyirikan dan kekufuran. Ujian-ujian ini juga sebagai cubaan Allah terhadap tiap-tiap hamba-Nya yang mengaku beriman sebagaimana yang terkandung melalui firman-Nya dalam surah al- ‘Ankabut ayat 2:“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

Oleh itu, setiap orang mukmin pasti akan diuji oleh Allah . Para Nabi dan Rasul adalah orang yang paling kuat menerima ujian daripada Allah walaupun mereka tidak melakukan dosa berbanding kita selaku insan biasa yang banyak melakukan dosa kerana lalai dan alpa serta menurut hawa nafsu.

Ujian yang ditimpakan oleh Allah kepada hambanya adalah berbentuk musibah dan nikmat yang mana kedua-duanya adalah bergantung kepada kemampuan kita untuk menerimanya. Baik musibah mahupun nikmat, yang pastinya ujian daripada Allah ini adalah merupakan peringatan, teguran, penghapusan dosa dan juga untuk mengangkat darjat kedudukan sekiranya kita akur, patuh serta kembali bertaqwa kepada Allah .

Seseorang yang beriman kepada Allah , bermakna telah berikrar untuk menyerah diri secara tuntas kepada pencipta-Nya iaitu Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Agong. Penyerahan diri ini termasuklah secara fizikal, mental dan spiritual. Orang yang berserah diri akan ikhlas menerima segala ketentuan Allah , yakin bahawa Dia Maha Penyayang dan Maha Bijaksana dalam menetapkan sesuatu ketentuan terhadap hamba-Nya.

Nabi Ibrahim diuji dengan perintah Allah supaya meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail di tengah padang pasir yang gersang dan tidak berpenghuni. Seterusnya, Baginda diuji lagi dengan perintah mengorbankan puteranya yang telah sekian lama tidak bertemu. Perintah dan ujian ini bukanlah untuk tujuan penganiayaan tetapi penuh dengan hikmah dan pengajaran yang perlu diambil iktibar.

Antara lain ia memberi iktibar bahwa kita harus menyerah diri dan bergantung sepenuhnya kepada Allah . Kalau kita bergantung selain daripada Allah , maka sesungguhnya kita sedang bergantung dengan sesuatu yang sangat lemah kerana setiap makhluk memang sangat lemah. Yang Maha Kuat (القوي ,(Maha Kaya (الغني ,(Maha Pemurah (الکريم (dan Maha Penyayang (الرحيم ( hanya Allah sahaja. Dengan itu, sesuatu ujian akan menetukan sejauh mana kebergantungan kita kepada Allah dan orang yang bergantung hanya kepada Allah akan terima semua takdir ujian yang ditetapkan kepadanya, kerana yakin dan berserah diri dengan ketentuan Allah .

Hanya Allah sahajalah sebaik-baik tempat untuk kita bergantung dan bertawakal sepenuhnya tanpa keraguan, tidak bergantung harap kepada manusia, tuah, nasib, makhluk ghaib dan sebagainya. Bergantung dan bertawakal kepada Allah akan menjadikan kita sentiasa mengharapkan rahmat, kasih sayang serta pertolongan-Nya dan ia adalah tanda sebenar-benar iman kepada Allah .

Berserah kepada Allah bermaksud kita memfokuskan segala usaha dalam kehidupan dan mengabdikan diri hanya untuk Allah selaras dengan tujuan penciptaan manusia itu sendiri seperti mana firman Allah dalam surah al-Zaariyat: Bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku.”

Sabda Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Berkatalah Dia (Jibril): Beritahu kepadaku tentang Ihsan? (Nabi Muhammad ) bersabda: “(Ihsan ialah) engkau mengerjakan ibadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia (Allah ) melihat engkau.”

Mimbar turut mengingatkan bahawa Aidiladha adalah Idul Akbar (raya terbesar) bagi umat ini kerana banyaknya pembebasan daripada neraka atau pengampunan dosa yang dianugerahkan oleh Allah pada hari sebelumnya iaitu hari Arafah. Kita sering melihat umat Islam menyambut Aidilfitri lebih meriah, lebih hebat dan lebih lama tidak seperti Aidiladha. Tidak hanya sekadar ia berlalu begitu sahaja sebagai hari cuti umum sedang peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita kerana kasih dan sayang terhadap para hamba-Nya.

Sesungguhnya Aidilfitri dan Aidiladha merupakan anugerah Allah yang penuh dengan kebaikan dan perlu diraikan sebaik mungkin. Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas bin Malik :“Rasulullah datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari ini pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.”

Mengakhiri khutbah Aidiladha ini, mimbar ingin menyimpulkan bahawa:

Pertama: Orang yang beriman pasti akan diuji oleh Allah dalam bentuk musibah dan nikmat bagi mengukur kebenaran dan kekuatan iman.

Kedua: Berserah dan bergantung hanya kepada Allah yang menetapkan segala ketentuan dan sentiasa berusaha membangun dan memajukan diri.

Ketiga: Umat Islam dituntut meraikan Aidiladha sebagai hari raya dengan penuh penghayatan dan pengisian yang lebih sempurna

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat baik ﴾ (ihsan) dan memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan mungkar dan kezaliman. Ia mengajar kamu supaya kamu mengambil peringatan.”
Petikan Khutbah Eidul Adha : 10 Zulhijjah 1439H JAIS

“Inilah Korbanku, Terimalah Ya Allah”.

Hari ini hari ke sepuluh Zulhijjah, umat Islam yang sedang menunaikan haji di Mekah sedang menyempurnakan manasik haji sebagai rukun Islam yang kelima.
jais.jpg
Umat Islam yang berada di tanah air Malaysia pula, selepas menunaikan solat Eidul Adha dan ingin menunaikan ibadah korban, maka sebentar lagi sama-sama akan menyembelih binatang-binatang korban.

Ibadah ini dilakukan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah dan ganjaran pahala yang besar. Dari Zaid bin Arqam bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada hariraya korban yang lebih disukai oleh Allah daripada menumpahkan darah korban. Bahawasanya ia (binatang yang dikorbankan itu) datang pada hari qiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya dan bahawasanya darah korban itu mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang ikhlas.” (Riwayat al-Tarmizi).

Menyembelih binatang korban adalah merupakan ibadah yang sangat besar ganjaran pahalanya. Ibadah korban merupakan syiar Islam dan lambang pengurbanan besar Nabi Ibrahim AS dalam menyatakan kepatuhan kepada Allah SWT yang tidak berbelah bagi dan ketaatan yang tiada bandingannya. Nabi Ibrahim AS dengan kerelaan sepenuh hatinya sanggup menerima perintah menyembelih anaknya Nabi Ismail AS demi menjunjung dan mematuhi perintah Allah SWT.

Bahkan anaknya nabi Ismail juga dengan penuh rela hati tanpa membantah sedikitpun permintaan bapanya yang merupakan perintah Allah. Kerelaan kedua-dua anak beranak itu jelas dirakam oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Soffat ayat 102:“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah!, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”

Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya supaya melaksanakan ibadah korban pada setiap tahun. Allah telah mensyariatkan ibadah korban sebagai suatu amalan sunat yang sangat dituntut untuk mencapai ketaqwaan dan keikhlasan di sisi Allah SWT sama seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail Alaihima al-Salam sebagai bukti kecintaan kepada Allah SWT melebihi cinta dunia, harta, anak dan kepentingan diri sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-Haj, ayat 37: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatangbinatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Seorang pemimpin samada dalam keluarga, masyarakat, di peringkat negeri mahupun negara, wajib mengorbankan fikiran, tenaga dan masa bahkan wang ringgit untuk mengurus, mentadbir dan mengatur segala bentuk tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Pengorbanan merupakan tuntutan dalam kehidupan, tanpa pengorbanan maka kelangsungan hidup tidak akan dapat dinikmati dengan sempurna. Sedangkan nikmat itu adalah kurnia pemberian Allah kepada hamba-Nya yang sanggup berusaha dengan gigih dan sanggup berkorban dengan ikhlas kerana Allah SWT.

Sesungguhnya ibadah korban itu bukan hanya sekadar menikmati daging-daging korban yang diagih-agihkan sahaja. Pengagihan daging itu diharap dapat menyuburkan lagi tali persaudaraan sesama umat Islam. Nilai korban itu terletak pada pengorbanan suci, lambang ibadah yang tinggi dan ketundukan sepenuh-penuh hati kepada Allah SWT. Bahawa inilah korbanku, inilah kesucian ibadahku, inilah kebersihan dan ketulusan hatiku yang ku serahkan untuk-Mu ya Allah! Maka terimalah ya Allah!:Ya Allah!, sesungguhnya inilah ibadah korbanku dari nikmat kurniaanMu, kepada-Mu sahajalah ku serahkan, maka terimalah ibadahku ini.

Mengakhiri khutbah Eidul Adha di pagi yang mulia ini, ambillah beberapa pengajaran dan panduan berikut:

1. Umat Islam wajib mempercayai dan meyakini bahawa melaksanakan perintah Allah SWT adalah bukti keimanan.

2. Umat Islam mestilah ikhlas dalam melakukan semua ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah menjaga dan merapatkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam disamping bekerjasama, tolong menolong, redha meredhai dan mengutamakan kepentingan orang lain berbanding dirinya sendiri.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa berkorban untuk mendapat kemenangan serta kejayaan di dunia dan akhirat.

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan Ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadanya; dan sampaikanlah berita gembira (Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.” (al-Hajj : 34).

GEORGETOWN - Menunaikan ibadah haji iaitu rukun Islam yang kelima boleh dikatakan kemuncak 'perjalanan hidup’ bagi setiap umat Islam.

Pada awal tahun 1786 sehingga 1976, rata-rata jemaah haji dari seluruh pelosok dunia termasuk Tanah Melayu menggunakan kapal laut sebagai pengangkutan utama ke tanah suci Makkah apabila ingin menunaikan ibadan berkenaan.

Bagi jemaah haji yang kurang berkemampuan pada ketika itu, proses menyimpan wang bukanlah semudah seperti ada pada masa kini.

alternate text
Kapal Kuala Lumpur antara kapal yang membawa jemaah haji ke Mekah siap sedia untuk berlepas dari Pelabuhan Pulau Pinang (Swettenham Pier). - Foto:Bernama

Ada yang terpaksa menggunakan hasil tabungan, menggadai barangan kemas dan menjual hasil tanaman serta ternakan. Malahan ada sanggup berhutang sehingga mengambil masa yang lama untuk membayar balik, kerana nilai tiket tambang ke tanah suci ketika itu boleh dikatakan agak mahal.

Hal ini berlaku disebabkan jemaah tidak yakin dengan sistem perbankan pada masa itu kerana mendakwa ada unsur riba di samping bimbang ditipu pihak yang cuba memanipulasi wang simpanan mereka.

Guna kapal kargo

Menurut Pensyarah Kanan Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM),   Dr Aiza Maslan @ Bahardin, era penggunaan kapal laut yang membawa jemaah haji ke Kota Mekah bermula pada sekitar tahun 1786.

Kapal laut yang digunakan adalah kapal kargo seperti yang dicatatkan di dalam diari Syeikh Omar Basyir iaitu Kadi Pertama Pulau Pinang pada ketika itu.

“Sebelum adanya kapal khusus yang membawa jemaah haji, pelayaran jemaah haji dari Pelabuhan Pulau Pinang (Port Swetenham) sebenarnya menggunakan kapal kargo. Antara syarikat yang begitu sinonim dengan kapal haji ini adalah The Ocean Ship Company ataupun dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu pada ketika itu sebagai Serombong Biru atau The Blue Funnel Line,” kata Aiza dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di USM.

Beliau berkata, memandangkan saban tahun bilangan jemaah haji kian bertambah, syarikat perkapalan mula tumbuh bagaikan cendawan kerana urusan penghantaraan jemaah haji ke Kota Mekah itu merupakan satu bentuk bisnes yang begitu menguntungkan.

“Jadi, apa yang mereka (syarikat perkapalan) buat adalah mereka tempatkan jemaah haji di kawasan dek mengikut kelas manakala di bawah kapal mereka tempatkan bahan-bahan yang dibawa jemaah haji seperti makanan, gula, beras hatta kayu balak pun ada.

“Jadi, aktiviti ini berlangsung sepanjang tahun 1950-an,” katanya.

Kapal haji pertama, Tyndareus

Menurut Aiza, mulai 1950, ada jemaah haji menyuarakan pandangan meminta supaya institusi perkapalan ataupun syarikat perkapalan memperbaiki mutu perkhidmatan haji iaitu supaya mengadakan sebuah kapal yang khusus membawa jemaah haji.

“Kapal pertama menjadi kapal haji yang membawa jemaah haji dari Pulau Pinang adalah Kapal Tyndareus yang sebenarnya sebuah kapal perang yang diubahsuai selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1949 dan 1950.

“Ia dilengkapi dengan bot penyelamat di kedua-dua belah kapal, klinik, serta terdapatnya sistem siaraya. Apabila kapal ini diperkenalkan, ia boleh memuatkan penumpang sehingga 2,500 orang jemaah haji,” katanya yang mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam bidang Sejarah Haji Orang Melayu dari Universiti Malaya

Menurut Aiza, setelah Kapal Tyndareus dilupuskan pada tahun 1954, sebuah lagi syarikat perkapalan berminat untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan jemaah haji iaitu The China Navigation Company.

“Sebenarnya, syarikat tersebut sebelum itu terlibat mengangkut buruh kasar dari Singapura, Indonesia dan kawasan sekitar ke kawasan lain sebelum ia diubahsuai menjadi kapal haji.

Kapal-kapal tersebut dikenali sebagai Anshun dan Anking,” katanya lagi.

Beliau menambah, selain kedua-dua kapal itu, pada tahun 1960an, Syarikat Kapal The China Navigation menambah lagi sebuah kapal haji yang dikenali sebagai Kapal Kuala Lumpur. Ini menjadikan tiga buah kapal membawa jemaah haji secara serentak pada ketika itu.

Syarikat baharu urus jemaah haji

Pada tahun 1967, Kapal Anking dilupuskan dan hanya tinggal Kapal Anshun dan Kapal Kuala Lumpur.

Aiza berkata pada tahun 1971, The China Navigation Company menarik diri daripada urusan perkapalan haji pada 1971 dan tugas ini diambil alih oleh The Great Malaysia Line.

Menurut beliau, semasa The Great Malaysia Line mengambil alih tahun urusan pengangkutan jemaah haji pada 1971, dua buah kapal haji digunakan iaitu Malaysia Kita dan Malaysia Raya.

“Dua buah kapal ini adalah yang terakhir sebelum era pelayaran kapal haji tamat.

“Kapal Malaysia Kita ini berakhir pada 1974 sebab terbakar sewaktu berlabuh di Pelabuhan Singapura dan Malaysia Raya juga terbakar pada 23 Ogos 1976 ketika berlabuh di Pelabuhan Klang,” tambahnya.

Atas sebab kekangan yang sering timbul maka, menurut Aiza, Tabung Haji (yang kini Lembaga Tabung Haji) memutuskan bahawa pada tahun 1976 merupakan tahun terakhir pelayaran melalui kapal haji dijalankan dan mulai tahun 1977, sudah tiada lagi kapal haji digunakan untuk membawa jemaah haji.

Jolokan 'Jeddah kedua' dan Syeikh haji

Menurut Aiza, era kapal laut jemaah haji pada ketika itu begitu rancak sehinggakan tempat berkumpulnya jemaah haji sebelum belayar yang terletak di Lebuh Acheh, George Town ataupun lebih dikenali dengan nama ‘Tanjong’ itu menerima jolokan sebagai “Jeddah Kedua” di kalangan jemaah haji dan penduduk di situ.

Suasana di Lebuh Acheh begitu meriah dengan kehadiran sanak-saudara yang datang beramai-ramai dari seluruh ceruk Tanah Melayu. Ada yang sampai kurang seminggu ataupun tiga minggu awal sementara menanti ketibaan kapal dengan tujuan menghantar jemaah berangkat ke tanah suci.

Memandangkan Lebuh Acheh adalah pusat tumpuan jemaah haji berkumpul, maka di situ juga tempat “Syeikh Haji” memainkan peranan.

Beliau menjelaskan Syeikh Haji pada ketika itu merupakan ejen haji berlesen yang dipantau oleh Pusat Kawalan Haji Pulau Pinang.

“Mereka inilah yang akan buat pas haji, pasport haji, beli tiket kapal dan mereka ini jugalah yang akan menguruskan penempatan apabila jemaah haji berada di Jeddah malah akan berhubung (dengan) Syeikh Haji di Jeddah serta menguruskan kotak Sahara iaitu sebuah peti simpanan untuk kegunaan jemaah haji.

Jadi kegiatan Syeikh Haji ini umpama tonggak atau tulang belakang pada kegiatan haji sebelum penubuhan Tabung Haji,” kata Aiza.

Bukan sahaja menjadi tempat tumpuan Syeikh Haji menjalankan kegiatan, malahan, menurut beliau, Lebuh Acheh juga turut menjadi pusat kegiatan ekonomi bagi masyarakat setempat.

“Apabila tibanya musim haji, ada di antara penduduk di situ mengambil peluang untuk berniaga seperti menjual barangan kelengkapan haji, makanan, pakaian, kain batik dan sebagainya. Ia seolah-olah menjadi pesta yang dibuka 24 jam ekoran kehadiran jemaah haji dan sanak saudara pada ketika itu begitu ramai,” kata Aiza.

Dilihat perniagaan lumayan tapi banyak kelemahan timbul

Walaupun perkhidmatan kapal laut jemaah haji oleh syarikat perkapalan yang dilihat sebagai perniagaan lumayan, namum terdapat juga kelemahan yang timbul pada ketika itu sehingga mendorong Pusat Kawalan Haji untuk menjadikan perkhidmatan tersebut lebih sistematik.

“Hal ini kerana terdapat isu seperti jemaah terkandas di pelabuhan lain oleh sebab tidak berlayar mengikut kapal atau pelabuhan yang ditetapkan oleh pegawai haji. Mereka percaya apabila melakukan ‘transit’, maka tambang tiket kapal akan menjadi lebih murah.

Jadi, kesulitan bermula apabila mereka sampai di Jeddah, mereka tidak boleh diberi bantuan kerana tidak diiktiraf sebagai jemaah haji dari Tanah Melayu sebab mereka pergi secara persendirian,” jelasnya.

Selain daripada jemaah haji berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti ribut dan juga ombak bergelora, terdapat juga kejadian kebakaran di atas kapal ekoran ada jemaah haji yang memasak di atas kapal sehinggakan mencetuskan kebakaran.

Berlaku juga kes jemaah kebuluran, penularan wabak dan juga kematian jemaah haji di atas kapal.

“Ada dalam kalangan jemaah haji yang saya sendiri temu bual apabila berlakunya kematian jemaah lain, jenazah itu akan dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan akan dikebumikan di dalam laut. Batu atau pun besi diikat pada bahagian kaki bagi menenggelamkan jenazah. Kapal akan berhenti buat seketika sehinggalan jenazah itu benar-benar tenggelam seterusnya akan memyambung pelayaran.

“Bagi jemaah haji, kematian tidak menggugat keimanan mereka untuk menjadi tetamu istimewa di tanah suci sehingga ada yang bawa sendiri kain kafan sebagai persediaan jika mereka dijemput Ilahi di atas kapal terlebih dahulu,” tambahnya.

Masalah kesihatan jemaah

Ada satu isu yang menimbulkan sedikit masalah di kalangan jemaah haji iaitu pemikiran masyarakat Melayu pada ketika itu boleh dikatakan agak tertutup jika melibatkan kesihatan.

“Walaupun ada klinik disediakan, mereka kadang-kadang tidak mahu menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Kadang-kadang mereka lebih suka menyembunyikan penyakit sehinggalah berlakunya penularan wabak bubon dan wabak taun.

Atas sebab itulah, pada tahun 1950an, Ordinan Kapal menetapkan syarat ke atas syarikat perkapalan haji mesti ada doktor di samping memberi suntikan vaksin kepada setiap jemaah haji keseluruhannya, bagi mengelakkan timbulnya masalah dari segi keselamatan dan kesihatan para jemaah,” kata Aiza.

Sementara itu, walaupun penggunaan sistem telekomunikasi pada ketika itu belum meluas, terdapat sistem siaraya di atas kapal yang membolehkan jemaah haji untuk berhubung dengan anggota keluarga di tanah air dengan menggunakan sistem telegraf.

“Kebiasaanya, pusat telegraf akan menerima telegraf daripada jemaah haji yang dalam pelayaran meminta supaya mesej itu disampaikan kepada keluarga apabila mereka tiba di pelabuhan. Itu sahaja kemudahan yang ada kerana perhubungan pada masa itu memang sangat sukar,” jelas  Aiza. -Bernama

Tags:

Latest Month

October 2018
S M T W T F S
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031   

Tags

Syndicate

RSS Atom
Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow