Tags: hukum

Khutbah Jumaat :“Hukum Syara’ Menjaga Maslahat Manusia”.

Petikan Khutbah Jumaat 12 Jun 2020M /20 Syawwal 1441H: JAIS

“Hukum Syara’ Menjaga Maslahat Manusia”.

Hari ini adalah Jumaat ke-13 sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac yang lalu. Ujian Allah menerusi wabak pandemik COVID-19 masih berterusan dan belum pasti bila akan berakhir. Namun sebagai hamba Allah, kita diperintahkan supaya jais.jpgtetap meneruskan ibadah dan melaksanakan segala hukum yang ditetapkan oleh Syara’. Hukum-hakam syara’ bagi kategori taklifi ada lima, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Hukum wajib seperti solat fardhu lima waktu sehari semalam kekal wajib sama ada ketika wabak atau tidak. Puasa sunat enam hari dalam bulan Syawwal ini juga kekal hukumnya sebagai sunat sama ada ketika wabak atau sebaliknya.

Namun ada ketikanya syara’ membenarkan kita mengambil rukhsah (keringanan) dalam situasi tertentu, demi menjaga kemaslahatan yang lebih utama.

Islam mengajar umatnya agar memelihara nyawa dan menjaga diri daripada sebarang penyakit yang memudharatkan. Hingga satu peringkat diharuskan seorang muslim untuk melafazkan kalimah kufur tapi hatinya tetap dengan keimanan bagi menyelamatkan dirinya daripada dibunuh.

Firman Allah SWT dalam surah al-NahlI ayat 106: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman”


Bagi orang yang sakit dan musafir pula diharuskan berbuka puasa pada bulan Ramadhan sekiranya membawa mudharat kepada dirinya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 184: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain”.

Ini menunjukkan keharusan meninggalkan sesuatu yang wajib bagi memelihara nyawa dan mengelak kemudharatan.

Syariat Islam itu bersifat dinamik dan sesuai pada semua tempat, masa dan situasi. Pada masa yang sama, maslahat (kebaikan) manusia sangat dijaga dan dititik beratkan oleh Islam. Ajaran Islam bukan bertujuan untuk menyusahkan dan memudharatkan manusia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 78: “Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama”.

Dalam situasi ujian pandemik COVID-19 ini, beberapa pertimbangan pelu diambil kira dalam menetapkan sesuatu hukum. Antaranya ialah kaedah ا iaitu sesuatu mudharat itu perlu dihilangkan,  iaitu sesuatu keterpaksaan boleh mengharuskan perkara yang dilarang, dan juga َ ر ْ سي ْ ي ا الت بُ ل ْ ج َ ت ُ ة ا ق َ ش َ لْا iaitu sesuatu kesukaran boleh mengundang keringanan.

Para ulama’ telah menetapkan bahawa ketakutan dan sakit adalah keuzuran yang mengharuskan untuk meninggalkan kewajipan solat Jumaat dan berjemaah di masjid.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mendengar seruan (azan Jumaat) sedangkan tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya daripada mengikutinya (datang ke tempat solat Jumaat), mereka bertanya: apakah keuzuran itu? Nabi SAW menjawab: takut atau sakit, maka tidak akan diterima daripadanya solat yang dia lakukan.” (Riwayat Abu Daud).

Oleh itu, takut dan bimbang merebaknya wabak COVID-19 melalui perhimpunan ramai adalah keuzuran yang diterima oleh Syara’ untuk tidak menunaikan solat Jumaat mahupun berjemaah di masjid 

Berdasarkan perkembangan semasa pandemik COVID-19 yang sedang dipantau secara berterusan oleh pakar-pakar kesihatan kerana masih belum ada penawarnya, sudah pasti pihak ulil amri ingin memastikan umat Islam dan institusi agama tidak terdedah kepada risiko kemudharatan yang lebih besar.

Kaedah fiqh ada menyatakan: “Menolak kerosakan lebih diutamakan daripada mengambil kebaikan”.

Siyasah syar’iah yang melibatkan polisi, peraturan dan undang-undang syara’ pula telah menetapkan bahawa keputusan pemerintah asasnya adalah maslahat (kebaikan) kepada rakyat dan orang ramai.

“Keputusan dan tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahat”.

Oleh itu, orang ramai hendaklah yakin dan akur kepada keputusan yang telah ditetapkan oleh Ulil Amri. Mentaatinya membawa kepada kebaikan dan mengingkarinya mengundang kemudharatan.

Mengakhiri khutbah kali ini, khatib ingin berpesan kepada hadirin sekalian agar mengambil pedoman-pedoman berikut:

1. Umat Islam wajib taat kepada segala perintah Allah dan larangannya sebagai bukti keimanan.

2. Umat Islam mestilah patuh kepada keputusan ulil amri dalam perkara selain maksiat.

3. Umat Islam hendaklah terus bermunajat dan berdoa kepada Allah agar ujian wabak COVID-19 segera diangkat.

“Dan jika Allah menimpakan (mengenakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri, dan jika Dia mengenakan (menimpakan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (al-An’aam : 17).

Apakah hukum bela biawak dalam rumah?

Apakah hukum membela biawak dalam rumah sebagai haiwan peliharaan?

Jawapan: MEMBELA binatang untuk dijadikan haiwan peliharaan dibolehkan dalam Islam selagi tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut dan tiada larangan menghalang memelihara binatang seperti khinzir dan anjing.

Imam Abu Syuja dalam Matan Al-Ghayah wa Al-Taqrib: "Dan bermula nafkah kepada hamba dan bahimah (haiwan ternakan) itu adalah wajib." Imam Al- Khatib Al-Syirbini menukilkan haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut Imam Al-Azraie.

Menjadi kewajiban bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. (Rujuk: Kitab Al- Iqna, 2/482)

Dalam satu hadis Nabi SAW mengatakan berkaitan haiwan disunatkan dibunuh disebabkan tabiat semula jadi haiwan tersebut. Perkara ini berdasarkan hadis berikut: Daripada ‘Aisyah RAH, Nabi SAW bersabda: "Khams fawasiq (haiwan perosak yang lima) yang perlu dibunuh meskipun dalam keadaan berihram; kala jengking, tikus, burung kite (burung pemangsa seakan helang), burung gagak dan anjing ganas." (Riwayat Muslim no 1198)

Al-Imam Malik mengatakan makna bagi hadis di atas adalah kerana tabiat khams fawasiq tersebut mendatangkan gangguan dan berbahaya dibolehkan dibunuh bagi mereka yang berihram. (Rujuk: Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/114)

Dalam perkara ini, kami berpandangan dilarang memelihara biawak bagi umat Islam dalam rumah atas dasar menutup mafsadah yang ada.

Sekalipun haiwan ini tidak disebut dalam hadis Nabi SAW dengan jelas sepertimana lima jenis haiwan yang lain, namun sifat semula jadi biawak sama dengan haiwan dalam hadis menjadikan biawak tergolong dalam haiwan perosak.

Berkaitan isu kebersihan pula, biawak ialah haiwan yang memakan benda kotor turut menjadikan haiwan tersebut tidak sesuai dipelihara dalam rumah umat Islam. Ini kerana, implikasi daripada kesan kotor biawak membawa kepada ketidak sempurna ibadat kepada ALLAH SWT.

Oleh itu, memelihara haiwan seperti ini dilihat membawa keburukan daripada kebaikan kepada pemelihara tersebut. Justeru, kepada mana-mana pemelihara disarankan untuk memelihara haiwan yang lebih mesra sifatnya kepada manusia serta tidak membawa kesan negatif kepada tuannya.

Mengapa tiada Qunut di Mekah

Mengapa solat Subuh di Masjid Nabawi dan Masjidilharam tiada doa qunut dan selepas solat tiada doa? - Raza, Perak.

UKE: Membaca qunut ketika sembahyang Subuh disyariatkan menurut mazhab Syafie dan ia termasuk dalam perkara sunat ab‘adh. Jika qunut itu ditinggalkan, sama ada terlupa atau sengaja, maka sunat ditampung dengan sujud sahwi.

Persoalan tentang qunut ini menjadi perkara khilafiah. Pelbagai pendapat berkenaan bacaan qunut di di dalam solat subuh tetapi kita yang berpegang dengan mazhab Syafie berpegang dengan sunat dibaca qunut.

Imam Syafie tidak mewajibkan qunut maka sebenarnya tiadalah masalah besar jika kita berimamkan imam yang tidak membaca qunut malah sah solat kedua-duanya. Yang membaca ada dalilnya, begitu juga bagi yang tidak mmbacanya.

Kita sebagai orang awam memadailah beramal dengan mazhab masing-masing kerana setiap mazhab empat itu sandarannya adalah Nabi Muhammad SAW. Bab berdoa itu mudah sahaja. Kalau tok imam itu tak berdoa maka kita sendirilah berdoa. Kalau tok imam berdoa kita aminkanlah, mudah-mudahan mustajab.

Permasalahan hukum 
di Masjidil haram

PERMASALAHAN hukum di Masjidilharam sering dihadapi oleh jemaah apabila mereka menunaikan ibadah haji atau umrah di Mekah.

1. Tidak berniat ihram di Miqat

Sering terjadi dalam kalangan jemaah haji terutama apabila melakukan umrah. Kebiasaannya miqat umrah bagi haji adalah di Bir Ali iaitu bagi jemaah yang memasuki Mekah dari Madinah. Sementara itu, Qarnul Manazil adalah tempat miqat umrah bagi jemaah yang terus ke Mekah. Kejadian ini terjadi akibat tertidur atau terlupa semasa bas atau kapal terbang melalui miqat.

Terdapat beberapa perkara yang sering diabaikan


TAHIYYATUL masjid bagi Masjidilharam adalah tawaf. - GAMBAR HIASAN

2.Tawaf tanpa wuduk

Tawaf merupakan ibadat yang memerlukan jemaah mempunyai wuduk. Jika terbatal wuduk hendaklah mengambil yang baharu dan mengulangi tawaf di tempat berhenti sebelumnya.

3.Tawaf tidak menutup aurat

Sama ada haji atau umrah ibadah itu tidak sah. Jemaah perlu menutup aurat terutama lelaki ketika memakai ihram dan wanita iaitu di bawah dagu dan pergelangan tangan. Selain itu, jemaah haji wanita perlulah memakai stoking tebal dan pakaian bersesuaian semasa berihram.

4. Lupa pusingan tawaf atau sa’ie

Antara dua perkara yang sering berlaku. Jika ragu-ragu sama ada pusingan tawaf empat atau lima, maka pilihlah yang kurang dan tambahkannya bagi mencukupkan tujuh pusingan. Bagi sa’ie pula pusingan ganjil adalah dari Bukit Safa ke Marwah manakala pusingan genap adalah dari Bukit Marwah ke Bukit Safa. Jika ragu-ragu berapa pusingan, maka ambil bilangan yang kecil dan pastikan pengakhiran sa’ie di Bukit Marwah.

5. Bergunting sebelum masa

Jika tidak sempurna bilangan tawaf dan sa’ie tetapi kita bergunting awal maka umrah dikira belum selesai. Kita perlu menyelesaikan tawaf dan sa’ie semula kemudian menyempurnakan dam tergunting tadi iaitu Takhir dan Taqdir.

6. Bersentuhan lelaki dan wanita tanpa membatalkan wuduk

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 menetapkan persentuhan kulit antara lelaki dan wanita tanpa syahwat semasa di Tanah Haram tidak membatalkan wuduk atas illah masyaqqah. Ini pandangan Muqabilul Asah, dalam Mazhab Shafie juga memandang kesukaran yang dihadapi jemaah semasa menunaikan haji dan umrah.

7. Waktu tahrim solat

Di Mekah tiada waktu tahrim solat sama ada selepas subuh atau asar. Namun di Madinah masih terpakai waktu tahrim solat iaitu selepas subuh atau asar.

8. Daimul hadas

Bagi jemaah yang menghidapi penyakit kencing tidak lawas atau keluar darah atau nanah tidak berhenti, maka ia akan menyukarkan untuk solat atau melaksanakan tawaf. Alternatifnya, 
apabila masuk waktu maka bersihkan 
najis, balut dan berwuduk, kemudian teruskan solat. Mereka hanya boleh melaksanakan satu solat fardu dan beberapa solat sunat sahaja. Begitu juga dengan satu ibadat wajib sahaja dalam satu-satu masa seperti umrah.

9.Perkara yang membatalkan tawaf wada’

Wajib bagi mereka yang hendak meninggalkan Kota Mekah. Ia bukan daripada syarat mengerjakan haji atau umrah. Bagaimanapun jemaah sering melakukan perkara yang membatalkan tawaf wada’ selepas melaksanakannya seperti mengambil gambar dalam Masjidilharam, mencari peminta sedekah, solat selain solat sunat tawaf dan membeli-belah bukan keperluan musafir.

10.Tahiyyatul masjid

Tahiyyatul masjid bagi Masjidiliharam adalah tawaf. Walau bagaimanapun, kita boleh melakukan solat tahiyyatul masjid sebagai menghormati masjid. Selain itu, banyak lagi isu atau kemusykilan jemaah haji yang sering dilakukan. Mudah-mudahan panduan ringkas ini dapat membantu bakal jemaah membuat persiapan untuk menunaikan haji atau umrah.

Terdapat beberapa isu yang sering 
dihadapi, antaranya:


  • Tidak berniat ihram di miqat

  • Tawaf tanpa wuduk

  • Tawaf tidak menutup aurat

  • Lupa jumlah pusingan tawaf atau sa’ie

  • Bergunting sebelum masa

  • Persentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk

  • Waktu tahrim solat di Mekah dan Madinah

  • Daimul hadas

  • Perkara yang membatalkan tawaf wada’

  • Tahiyyatul masjid

Mufti tak bersendirian keluar fatwa

Setiap fatwa yang dikeluarkan mufti bukan dilakukan secara bersendirian. Mufti terlebih dulu akan memanggil Jawatan Kuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri (Jawatan Kuasa Fatwa) untuk berunding dan banyak proses perlu dipatuhi termasuk melaksanakan perbincangan dan pandangan pada peringkat negeri dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa peringkat Kebangsaan sehingga semua pihak berpuas hati sebelum ia diputuskan.

Jika sesuatu perkara itu membabitkan hal bersifat kebangsaan, selepas itu akan dibincang semula ke peringkat negeri dan kebiasaannya jarang sekali timbul percanggahan mengenainya.

Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri terdiri daripada tenaga pakar dari kalangan ulama dan cendikiawan yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri masing masing yang diperkenankan pelantikannya oleh Tuanku Sultan sendiri, selepas itu perbincangan mendalam mengenai sesuatu perkara dilakukan, baharulah keputusan dibuat dan diterima oleh semua pihak.





Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang 2015. - Foto ihsan mufti.pahang.gov.my. Gambar kecil, keratan akhbar BH kelmarin.


Bahkan, apabila bercakap soal fatwa, sebelum ia dikeluarkan ia merujuk secara teliti hukum syarak dan dalil yang menyokongnya, walaupun ada percanggahan pendapat dengan fatwa lain.

Kebiasaannya keputusan yang dibuat akan melihat secara menyeluruh terutama berkaitan dengan maslahah umat Islam setempat dalam sesebuah negeri.

Merujuk hukum hakam syarak

Muzakarah Fatwa Peringkat Kebangsaan adalah muzakarah saja bukan fatwa.

Fatwa adalah diputuskan di setiap negeri sebagaimana disebut dalam enakmen negeri.

Fatwa juga mempunyai kuasa perundangan selepas ia diwartakan.

Negeri pula, umpamanya di Pahang, tidak ada masalah besar mengenai penyelarasan pelaksanaan fatwa dengan Muzakarah Fatwa Peringkat Kebangsaan apabila ia diputuskan.

Hendaklah difahami fatwa yang dikeluarkan merujuk kepada hukum hakam syarak dan ia tidak dipengaruhi keputusan fatwa lain atau di negeri lain sebagaimana kaedah dan syarat ijtihad pengeluaran fatwa.

Saya agak hairan dengan kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang disiarkan BH kelmarin yang menyifatkan fatwa dikeluarkan oleh mufti tidak mengambil kira keadaan umat Islam di negara ini, selain cuma mengambil fatwa mengenai sesuatu perkara dikeluarkan di luar negara.

Amalan biasanya juga melihat kepada penyelarasan yang diputuskan pada peringkat kebangsaan, tetapi keputusan pada peringkat negeri adalah muktamad.

Keputusan fatwa ini tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan. Keputusan sesuatu fatwa dibuat berdasarkan perbincangan yang merujuk hukum syarak dengan mengemukakan banyak dalil.

Jika menyentuh isu besar membabitkan peringkat kebangsaan, yang telah dibincangkan dalam muzakarah, negeri lazimnya akan membuat keputusan yang jarang bercanggah dan tidak mendahului keputusan kebangsaan.

Perbezaan fatwa

Fatwa kebangsaan yang membabitkan perkara besar, lazimnya diselaraskan pada peringkat negeri selepas dibahas dan dipertimbangkan dalam Jawatankuasa Fatwa pada peringkat negeri Pahang.

Perbezaan fatwa antara negeri secara teknikalnya tidak banyak berlaku, mungkin jika ada pun sangat kecil.

Misalnya, dalam kes anak lahir lebih daripada enam bulan hijrah, kebanyakan negeri memfatwakannya boleh anak itu berbinkan bapanya.

Jika lahir kurang daripada enam bulan hijrah tidak boleh dibinkan bapanya walaupun ada negeri yang memfatwakan boleh dibinkan kepada bapanya.

Namun, Jabatan Pendaftaran Negara tidak mendaftarkan kelahiran anak yang lahir kurang daripada enam bulan kerana mengikut fatwa yang diputuskan peringkat kebangsaan.

Pada masa yang sama, isu perbezaan kecil fatwa ini antara negeri tidaklah menimbulkan konflik sehingga boleh memecah belahkan umat.

Anggaplah ini ada hikmahnya kerana Allah Taala menjadikan bukan semua manusia sama fikiran dan kegemaran, sebagaimana ada yang gemar dan tidak memakan juadah sama.

Sebab itu perbezaan pendapat ulama itu adalah satu rahmat Allah. Dengan itu, isu kebangsaan ini perlu kesepakatan mengikut keperluan negeri masing-masing.

Pelajari pengalaman negara laksana hudud

ERA kebangkitan Islam moden bermula ketika negara Islam satu demi satu melepaskan diri daripada penjajahan Barat sekitar 1970-an dengan timbulnya semangat berkobar-kobar, terutama dalam kalangan generasi muda, untuk kembali kepada Islam secara menyeluruh hingga dikenali dengan zaman kebangkitan Islam atau Islamic Revivalism.

Dunia menyaksikan kebangkitan Islam menerusi revolusi Iran sekitar 1978/1979, kemenangan tentera Mesir ke atas Israel pada 1973 yang ditiupkan semangat dan roh Islam, dengan pekikan 'Allahuakbar'.

Negara Islam khususnya negara Arab menunjukkan kesatuan ketika melancarkan oil embargo bagi menentang Barat dan ternyata amat berkesan sehingga menggerunkan Barat, sekali gus membuktikan negara Islam dapat mengunakan kekuatan ekonomi untuk tundukkan kuasa Barat.

Bagaimanapun, yang menimbulkan masalah dalam kebangkitan Islam ini ialah kekurangan ilmu pengetahuan masyarakat.

Akibatnya penghayatan Islam sering disalah tafsirkan sebagai amalan fardu ain dan simbol lahiriah semata-mata atau menyentuh bidang ibadat khusus.

Ketika negara melancarkan dasar penerapan nilai Islam dalam perkhidmatan awam umpamanya, ada yang mentafsirkan dasar itu dalam kelas tajwid dan fardu ain, qiamulail serta kuliah agama harus diadakan di surau pejabat tanpa membabitkan orang bukan Islam.

Perluas skop program

Sungguhpun pelaksanaan ini penting sebagai asas penghayatan Islam, program itu harus dikembangkan lebih luas seperti soal disiplin, mengurus masa, etika kerja, saling menghormati serta penghayatan nilai Islam di tempat kerja, hubungan majikan dan pekerja serta seterusnya.

Kita juga dengan susah payah membangunkan struktur dan sistem muamalat Islam yang komprehensif dalam institusi kewangan, perbankan, pelaburan, takaful dan program membabitkan aktiviti kewangan serta perekonomian orang Islam selaras dengan ajaran Islam.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa perundangan negara yang diwarisi daripada Inggeris, banyak mengalami pindaan dan perubahan, sesuai dengan perundangan Islam yang membabitkan perubahan peraturan dan kaedah perundangan serta peruntukan tertentu dalam Perlembagaan dan undang-undang.

Maka yang tinggal lagi dalam arena perundangan hari ini ialah penggubalan dan pelaksanaan hudud, iaitu sebahagian undang-undang jenayah syariah.

Undang-undang syariah yang dilaksanakan di negara kita adalah undang-undang yang telah dikanunkan dan kes dibicarakan di mahkamah adalah yang dihukum berpandukan undang-undang itu.

Undang-undang keluarga Islam yang digubal dan diwartakan selama ini, juga undang-undang lain, dilaksanakan dengan baik, sungguhpun ia harus dikaji dari semasa ke semasa.

Hudud membabitkan kesalahan jenayah yang ditentukan oleh al-Quran dan hadis. Namun, hukuman tidak dijalankan sewenang-wenangnya seperti difahami orang awam.

Membersihkan diri

Menurut beberapa sumber rujukan, Saidina Umar pernah menggantung hukuman hudud sariqah (jenayah mencuri) pada zamannya ketika kebuluran. kerana jenayah ini sering dilakukan dalam keadaan terpaksa, iaitu kebuluran. Hudud juga sering berlaku dengan pengakuan penjenayah, bertujuan membersihkan dirinya di dunia ini seterusnya membawa ke hari akhirat.

Orang yang sedang dihukum kerana melakukan kesalahan dalam kes hudud boleh dilepaskan sekiranya ia menukar pengakuan umpama orang yang sedang direjam, tiba-tiba menukar pengakuannya atau melarikan diri, maka ia tidak perlu dihukum lagi, mengikut pandangan sesetengah ulama.

Saya meminta fakta dan prosedur perundangan yang disebutkan dapat dikaji secara ilmiah dan terperinci untuk didedahkan kepada umat Islam dan bukan Islam.

Masalah lain yang agak sukar dilaksanakan dalam hukum hudud ialah mendapatkan saksi dan keterangan terhadap tertuduh.

Kriteria saksi yang ketat, bilangan saksi dan dorongan melakukan jenayah menjadikan kes hudud sukar disabitkan dan ketika itu hukuman tidak lagi termasuk dalam kategori hudud, jadi hukuman takzir, iaitu mengikut budi bicara hakim dan mahkamah.

Sudah agak lama kita menyedari beberapa negara Islam yang laksana hudud ini.

Negara itu telah melalui beberapa proses tertentu dari segi perundangan dan tatacaranya serta penghakimannya dan tenaga hakim, kejayaan dan kegagalannya dalam proses pelaksanaan undang-undang itu.

Kenapa kita tidak berusaha mempelajari proses ini daripada negara Islam itu untuk mendapat pengalaman dan ambil ikhtibar kejayaan atau kegagalan mereka.

Kita berada dalam satu perjalanan jauh dan sukar untuk laksanakan Islam secara syumul dan komprehensif.

Bagaimanapun, kejayaan yang kita capai harus jadi pendorong untuk kita bergerak seterusnya iaitu secara berilmu, berhikmah dan berwaspada.

Satu langkah kita membuat kesilapan, mungkin akan merosakkan satu generasi umat kita.
Dr Ismail Ibrahim Berita Harian Kolumnis 19 Januari 2016 @ 7:03 AM

Hukum buang kucing

Berdosakah saya buang kucing di pasar ikan? Kucing itu datang ke rumah saya dan disebabkan saya sering beri kucing itu makan, jiran beranggapan ia kepunyaan saya.

Oleh sebab kucing itu membuang najis di luar kawasan rumah saya dan jiran, mereka merungut mengatakan kucing saya mengotorkan kawasan rumahnya.
* Pencinta haiwan, Kuala Lumpur.

UKE: Perbuatan anda memberi makan kepada kucing adalah berpahala. Bagus kerana bukan semua orang boleh buat macam itu. Tetapi jika membela kucing itu boleh menimbulkan masalah kepada jiran sehingga mencetuskan perkara yang tidak elok, jadi hukum lain pula.

Anda boleh bela tapi pastikan kucing itu dibela dengan cara yang tidak menyeksanya dan tidak juga mendatangkan masalah kepada jiran. Anda juga boleh serahkan kepada pihak tertentu yang membuat perkhidmatan menjaga kucing terbiar. Anda boleh hantar ke pasar yang anda yakin bahawa di pasar itu banyak makanan untuk si kucing itu.

Saya pernah melihat seorang lelaki yang memberi makanan kepada kucing di pasar dan dia juga memberi makanan berupa ikan kepada kucing-kucing di sepanjang jalan ke rumahnya tanpa membela kucing di rumahnya.

Dan yang sangat menakjubkan kucing-kucing itu seolah-olah mengetahui pukul berapa dia akan mengagihkan ikan-ikan dengan menunggu di sepanjang jalan dan di pasar. Dan dia tidak bela pun walau seekor kucing di rumahnya.

Kaedah pertunangan dalam Islam

Betulkah kalau sebut “Saya nak awak jadi isteri saya,” dan perempuan menjawab “Saya setuju,” pasangan ini menjadi tunang mengikut hukum fikah tetapi belum melalui adat Melayu?
* Hasry, Labuan.

UKE: Mengikut perspektif Islam dan hukum fikah, pinang bermaksud apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan bersetuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki itu.

Dalam budaya Melayu, pertunangan itu diadakan penuh dengan adat merisik, bercincin, jamuan dan sebagainya dengan tujuan untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa anaknya sudah bertunang.

Bertunang boleh berlaku dengan pelbagai cara seperti panggilan telefon dan kata-kata. Tetapi apabila pertu­nangan melibatkan keluarga, maka itulah yang terbaik. Tujuan begini adalah bagus kerana dapat mengelak daripada berlaku pertindihan peminangan atas pinangan orang lain.

Sebab itu, pertunangan begini dijadikan suatu adat budaya yang diamalkan dalam masyarakat Melayu. Namun begitu timbul persoalan lain apabila kata-kata seperti “Sudikah awak menjadi isteri saya?” atau “Kita bertunang OK?”. Lalu si perempuan pun bersetuju maka secara tidak langsung mungkin istilah pertunangan telah berlaku. Kerana kejahilan maka terjadilah perkara yang merumitkan.

Sebab itu pertunangan sebaik-baiknya hendaklah melibatkan kedua-dua belah keluarga supaya lebih terjaga hukum-hakam yang berkaitan. Malah bila termeterai pertunangan secara rasmi, ia boleh juga diselesaikan melalui perundangan jika tidak berpuas hati sekiranya ikatan itu diputuskan.

Jika bertunang main senang-senang saja mungkin implikasi lain akan timbul. Saya menyarankan agar si gadis berhati-hati dalam menerima cinta atau menyambut kata-kata cinta. Lebih baik melibatkan keluarga supaya lebih tersusun.

Andai kata cinta putus di tengah jalan, maka putuslah dengan cara baik dan ia tidak menghalang untuk bertunang atau berkahwin dengan orang lain jika cinta disemai terputus di tengah jalan. Dengan kata-kata “Kita putus saja” atau “Kita tak ada apa-apa hubungan lagi”, maka bertunang tadi dikira dah putus seperti yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu.


Roboh rumah pusaka

Kami adik-beradik sepakat agar rumah pusaka yang sudah uzur dirobohkan dan dibina semula dengan bantuan PPRT.

Tapi abang sulung membantah tanpa alasan, sedangkan dia memiliki rumah sendiri di belakang rumah pusaka tersebut. Rumah pusaka didiami kakak yang kematian suami tanpa anak, adik lelaki yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak, emak tiri serta adik tiri perempuan satu bapa. Kesemuanya hidup dengan pendapatan kurang dari RM1,200.

Bolehkah perancangan kami itu diteruskan tanpa persetujuan daripada abang sulung?  Sedangkan binnya pun beza sedikit walaupun kami satu ayah dan ibu.
* Zaian, Shah Alam.

UKE: Anda kena betulkan sedikit di situ iaitu yang anda kata adik tiri satu bapa itu, bukan adik tiri anda tetapi adalah adik kandung anda satu bapa berlainan ibu. Adik tiri ialah jika adik itu anak ibu tiri anda dengan suaminya yang terdahulu.

Jika adik itu anak bapa anda maka dia dipanggil adik sebapa. Sebaik-baiknya selesaikan terlebih dahulu pembahagian pusaka dan ditentukan siapa berhak atas rumah tersebut. Kalau anda roboh pun rumah uzur itu, masalah akan timbul juga sebab geran masih bernama arwah ayah.

Saya cadangkan selesaikan perkara ini terlebih dahulu. Kalau tidak mahu juga, anda buatlah persetujuan bersama dengan bertanda tangan semua pihak menyatakan persetujuan untuk dibina rumah baharu supaya tidak timbul masalah pada kemudian hari.


Hukum modal judi

Kalau menang judi sebanyak RM30,000 dengan modal RM5,000, apakah semua wang itu jadi haram atau wang modal masih halal?
* Matori Azmi, Jerantut.
UKE: Lain macam soalan ini ya, tapi baguslah sebab dapat memberi maklumat kepada yang lain. Jika RM5,000 itu adalah duit atau modal yang halal, maka halallah wang itu. Hadiah kemenangan RM30,000 itu adalah haram digunakan melainkan diserahkan kepada baitulmal atau digunakan untuk perkara umum seperti membuat jalan, tandas awam, jambatan atau apa-apa sahaja untuk kegunaan awam.

Tapi jika hendak senang kerja, serah sahaja kepada baitulmal. Hukum berjudi adalah berdosa besar dan si pelaku wajib bertaubat nasuha.


Perlukah bayar fidyah solat orang mati

Ada seorang ustaz mengatakan kita perlu bayar fidyah solat orang yang  telah meninggal dunia. Betulkah apa yang disampaikan oleh ustaz ini? Selama ini yang saya tahu hanya ada bayar fidyah puasa saja untuk orang yang meninggal dunia.
* Suraya Abdullah, Seremban.

UKE: Untuk menjawab soalan anda, adalah lebih baik terus kita merujuk kepada keputusan fatwa beberapa buah negeri berkenaannya. Menurut keputusan Fatwa Negeri Pulau Pinang: “Tiada diqadakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi sembahyang si mati.

Manakala hukum fidyah puasa, sekiranya orang yang mati sedang menanggung puasa fardu dan berkesempatan untuk menqadanya tetapi dia tidak berbuat demikian maka dikenakan fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan sebanyak 15 tahil beras. Jika puasa itu tidak diqadakan lewat bertahun maka fidyah akan berganda mengikut bilangan tahun.”

Menurut Fatwa Negeri Melaka: “Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil 3/2007 yang bersidang pada 2 Zulhijjah 1428H bersamaan 12 Disember 2007 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa: Tiada qada dan tiada fidyah bagi sembahyang yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas dalam kitab al-Muwatta’ daripada Ibn Umar.

- Utusan Malaysia Rencana 03 Januari 2016 8:40 PM

Tidak takut hukum tuhan

Bunyinya seakan tidak manis. Apatah lagi apabila ia dituturkan oleh seorang isteri yang masih ada talian ikatan perkahwinan yang sah. Entah apa yang difikirkan oleh Tipah, sukar untuk dijangkakan.

Yang pasti, Tipah pernah berkata, "Teringin sangat aku nak jadi ibu tunggal!" Astaghfirullah sampai ke situ sekali Tipah berfikir. Katanya, bila dah jadi ibu tunggal, hidupnya akan lebih bebas.

Status isteri tapi lagaknya persis orang tidak bersuami


Isteri yang baik akan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan dan perkataannya kerana keredaan Allah terletak kepada reda suami. - GAMBAR HIASAN
Dia mahu bebas untuk pergi ke sana-sini tanpa perlu meminta izin daripada suaminya. Dia mahu buat apa sahaja tanpa ada larangan daripada suaminya. Dan dia mahu bersosial dengan kawan-kawannya pada bila-bila masa dia mahu tanpa memaklumkan kepada suaminya terlebih dahulu. Bahkan, Tipah juga mahu melancong ke luar negara beberapa minggu tanpa perlu dia memikirkan suaminya yang tinggal di rumah.

Itu sebenarnya yang Tipah mahu. Tipah merasakan, kewujudan suaminya mengongkong kehidupannya. Dia mahu bebas tanpa ada sebarang halangan. Dia mahu jadi seperti Ani, Milah, Munah, Suraya dan ramai lagi kawan-kawannya yang telah bergelar ibu tunggal. Ada yang jadi ibu tunggal kerana kematian suami. Ada yang memegang status tersebut kerana diceraikan oleh suami dan ada yang jadi ibu tunggal kerana dia sendiri yang meminta cerai.

Tipah melihat kawan-kawannya itu bebas untuk ke mana-mana. Bahkan apa sahaja yang mereka lakukan, tidak akan dikaitkan dengan dosa kerana tiada lagi keizinan suami yang diperlukan. Tipah juga ingin begitu. Acap kali Tipah menyuarakan hasratnya itu kepada pembantu rumahnya.

“Apa sudah gila ke ibu ni?,” kata pembantu rumahnya tatkala mereka berbual-bual sesama sendiri. “Apa selama ini ibu tak bebas? Apa selama ini ibu nak ke mana-mana, suami ibu melarang? Tak pernah? Bahkan kalau ibu nak keluar, acap kali juga ibu tak minta izin. Ada suami ibu marah pada ibu?” bertalu-talu pembantu rumah itu melontarkan persoalan demi persoalan. Ada rasa tidak senang dalam hati pembantu rumah itu apabila melihat sikap majikannya yang dianggap keterlaluan. Selama ini pun hal-hal keperluan rumah tangga tersebut tidak pernah diambil tahu oleh majikannya. Segala-galanya diuruskan oleh pembantu rumah. Makan, pakai suami dan apa sahaja yang berkaitan dengan suami majikannya, tidak pernah pun dikisahkan. Dia lepas tangan kerana ada pembantu rumah yang menguruskannya. Dia senang hati pergi ke mana-mana dia suka. Dia gembira bila bersama-sama kawan-kawannya.

Sesekali dia mengajak kawan-kawannya pergi makan di luar. Kepada suami tidak pernah sedikit pun dia bertanya, apa suaminya hendak makan dan minum. Beli makanan untuk suami? Tidak sekali! Kebencian terhadap suami semakin ditunjuk-tunjuk. Lagaknya persis ibu tunggal sama seperti kawan-kawannya. Lebih malang, kawan-kawannya juga tidak pernah menegur sikapnya. Seakan bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Tipah.

Entahlah, segala kerenah yang dilakukan oleh Tipah, hanya mampu membuatkan pembantu rumahnya geleng kepala. Sudah banyak kali diberi nasihat, tapi sedikit pun dia tak ambil peduli. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kadang-kadang terfikir di hati pembantu rumah, “Jenis isteri apakah ini? Umur sudah 60 tahun tapi masih mahu memikirkan keseronokan diri daripada melayan suami!”

Cer kome tanye, UKE jawab

Tujuan Pembedahan Plastik
Umur saya ialah 53 tahun. Apakah dibenarkan dalam Islam jika saya menjalani pembedahan moden di muka supaya pipi kelihatan lebih tegang. Saya menjalankan perniagaan produk kecantikan dan perlu bagi saya menjaga penampilan diri. - Mat, Bukit Mertajam.

UKE: Hukum prosedur pembedahan plastik bergantung kepada niat dan tujuan ia dilakukan.

Diwajibkan: Prosedur untuk menutup luka, memperbaiki bekas luka parah atau menampal kesan kulit terbakar pada wajah dan bahagian anggota yang boleh dilihat.

Diharuskan: Bertujuan menyempurna atau mengembalikan fungsi tubuh sebagaimana yang sepatutnya dan membaik pulih kecacatan anggota tubuh.

Diharamkan: Mengubah ciptaan Allah SWT seperti menukar alat kelamin, wajah dan sebagainya. Nas mengharamkan pembedahan plastik selain tujuan kesihatan adalah berdasarkan firman Allah SWT: “Apa yang mereka sembah selain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hamba-Mu bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku).

Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka dan sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”.

“Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang nyata.” (Surah al-Nisa, 117-119).


Cukur bulu kaki

Bolehkah kalau perempuan cukur bulu kaki untuk tujuan kecantikan?- Gadis Ayu, Kedah.

UKE: Tidak ada larangan dari segi syarak terhadap perbuatan mencukur bulu kaki. Yang ada larangan hanyalah mencukur atau menipiskan bulu kening kerana ia dilaknat oleh Allah SWT sebagaimana ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis baginda: “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang mencukur alis (bulu kening) atau minta dicukur alisnya dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar RA).

Apabila tidak ada larangan, maka ia kekal atas hukum asalnya iaitu harus.


Tahlil arwah

Kalau kita nak buat kenduri tahlil arwah, apakah kita kena sebut nama-nama arwah kepada tok imam?- Sal, Selangor

UKE: Kenduri tahlil hukumnya harus semata-mata. Jangan dianggap wajib dan boleh dilakukan dan mendapat pahala kerana di dalamnya ada zikir, bacaan al-Quran dan sebagainya. Adapun hendak sebut nama arwah atau tidak kepada tok imam adalah terpulang. Tok imam itu pandailah hendak buat. Yang penting Allah SWT mengetahui niat kita.

Jemu bercinta

Saya berusia 34 tahun dan masih bujang tetapi mempunyai seorang teman lelaki yang sebaya. Kami sudah lama berkawan tetapi sepanjang perkenalan kami, dia masih belum memberi apa-apa perancangan ke arah perkahwinan. Saya malu untuk bertanya tentang hal itu kerana saya seorang wanita walaupun di dalam hati hanya Allah saja yang tahu perasaan ingin berumah tangga bersama dia.

Saya mohon jasa ustaz untuk memberi doa yang tepat supaya terbuka pintu hati dia untuk memperisterikan saya. Saya sudah jemu bercinta, memandangkan usia semakin meningkat. Bantu saya ustaz. - Haslinda Hashim, Ampang.

UKE: Saya cadangkan anda banyak membaca Surah ar-Rad ayat satu hingga tiga. Baca setiap kali selepas solat. Baca juga surah Yasin ayat ke-82. Sila buka YouTube kerana ada ceramah saya tentang ayat tersebut.

Soalan Suami yang menyakitkan hati

Ini merupakan perkahwinan ketiga saya. Suami saya suka bertanya tentang hubungan saya dengan bekas suami dulu termasuk berapa kali sehari saya berasmara dengan bekas suami. Saya rasa sangat sakit hati. Kalau bukan suami yang bertanya, mahu sahaja saya tumbuk mulut dia. Soalan-soalan itu boleh dikatakan ditanya tiap-tiap hari dan tiga hingga empat kali sehari diajukan pada saya. Kadang-kadang dia menghina saya kononnya saya janda sedangkan dia pun duda anak empat. Usia dia 70-an dan saya 50-an. Apa harus saya buat? - Lina, Damansara

UKE: Puan Lina, jangan layan sangat soalan begitu kerana bukan semua soalan suami perlu dijawab. Kalau anda sakit hati dengan soalan dia, adalah lebih baik jika anda berterus terang dan cakap dengan tegas bahawa anda tidak suka soalan sebegitu. Banyakkan solat malam. Insya-Allah suami akan menghormati anda.

- Utusan Malaysia Rencana Agama 7 Jun 2015

Cabaran perlaksanaan Undang-undang Jenayah Islam

POLEMIK mengenai hudud di Malaysia tidak pernah surut. Kalau sebelum ini ia hanya berlegar dalam kalangan umat Islam tetapi hari ini, ia turut disentuh oleh bukan Islam.

Apa tidaknya, isu itu menjadi kembali panas apabila pada 18 Mac lalu, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan kemudiannya diluluskan.

Lebih menghangatkan suasana itu, apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menghantar surat notis pemberitahuan meminta agar rang undang-undang persendirian berkenaan hudud di bawa ke Parlimen.


Sebahagian dari para peserta yang hadir, di Seminar pelaksanaan hudud di Malaysia: sejarah dan masa depan di Dewan Syeikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, baru-baru ini. -

Semua pihak, termasuk kalangan mereka yang tidak begitu memahami undang-undang jenayah itu turut sama menyuarakan pandangan atau pendapat mereka terhadap isu berkenaan.

Malah, situasi menjadi lebih bercelaru apabila polemik tersebut turut menunjukkan kita berada dalam keadaan keliru apabila membicarakan isu terbabit.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyimpulkan bahawa keadaan itu disebabkan ramai orang terkeliru di antara hukum dengan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam tersebut.

Atas sebab itulah, beliau menegaskan bahasa masyarakat umum perlu membezakan di antara perbincangan mengenai hukum dengan pelaksanaan undang-undang itu.

“Apa yang kita bincangkan sekarang ini ialah mengenai pelaksanaannya dan bukan mempersoalkan aspek hukumnya.

“Membangkitkan isu-isu yang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan undang-undang itu bukanlah bermakna menentang hukum,” katanya pada Seminar Pelaksa­naan Hudud di Malaysia-Sejarah dan Masa Depan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZ), baru-baru ini.

Pada seminar itu, Tun Abdul Hamid membentangkan kertas kerjanya bertajuk, ‘Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam (hudud, qisas dan takzir) di Malaysia-Prospek dan Cabaran’ pada seminar anjuran Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan MTMZ.

Alat bukan matlamat

Ini jelas dalam kisah Khalifah Umar Ibnu Al-Khattab pernah menggantungkan pelaksanaan hudud semasa berlaku musim kelaparan dan tiada sesiapa pun menuduh Umar menentang hudud, lebih-lebih lagi menentang perintah Allah SWT.

Beliau hanya memutuskan bahawa dalam keadaan tersebut adalah tidak sesuai, bahkan akan membawa kepada ketidakadilan, jika hukuman hudud terus dilaksanakan.

“Ingat bahawa hudud hanyalah alat bukan matlamat. Matlamat Islam adalah keadilan,” katanya.

Tun Abdul Hamid seterusnya menampilkan satu lagi contoh iaitu di Pakistan apabila Ordinan Hudud (Hudood Ordinance) dibuat pada 1979, kesalahan merogol dijadikan kesalahan hudud.

Kemudian, berlaku kes-kes ketidakadilan terhadap wanita-wanita mangsa rogol yang mengandung dan tidak dapat mengemukakan saksi-saksi secukupnya yang berakhir dengan mereka dihukum kerana kesalahan zina. “Pada 2006, kesalahan rogol dikeluarkan daripada Ordinan Hudud (Hudood Ordinance) dan dimasukkan semula ke dalam Kanun Jenayah (Penal Code) dan dibicarakan oleh mahkamah sivil sehinggalah sekarang,” katanya.

Sejajar itu, Tun Abdul Hamid mengulas bahawa jika enakmen itu dilaksanakan, ia bakal mengubah struktur pentadbiran undang-undang jenayah di negara ini.

Beliau berkata, negeri-negeri selain dari Kelantan, undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa persekutuan, terpakai kepada orang Islam, bukan Islam dan mahkamah sivil.

Di Kelantan pula, sebahagian daripadanya diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, terpakai kepada orang Islam sahaja dan ditadbirkan oleh mahkamah syariah.

“Sementara, sebahagian lagi terus terletak di bawah bidang kuasa persekutuan, terpakai kepada orang Islam, bukan Islam dan mahkamah sivil.

“Persoalan saya, adakah itu yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Cuma dalam berbuat demikian, saya berharap mereka menyedari implikasinya di masa depan,” katanya.

Begitu pun, beliau percaya sama ada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 itu sah atau tidak daripada segi Perlembagaan akan ditentukan oleh mahkamah sivil.

“Ini kerana, ia adalah isu keperlembagaan dan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa memutuskannya adalah mahkamah sivil,” katanya.

“USAHA menegakkan Undang-Undang Islam ini ibarat kata Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat iaitu kita naik motosikal dan apabila sampai satu tempat, ada lampu isyarat berwarna merah. Kita berhenti tetapi jangan matikan enjin kerana apabila lampu hijau, kita terus jalan.”